Tiga individu iaitu ahli jawatankuasa penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin, bekas exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris dan pempengaruh media sosial pro-Perikatan Nasional (PN) Salim Iskandar hari ini memberi keterangan kepada pihak polis berhubung dakwaan terlibat dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan yang dikenali sebagai Langkah Dubai di balai polis Setapak, Kuala Lumpur, petang tadi.
Pada sidang media sebelum itu, Wan Muhammad, Azriatau lebih dikenali sebagai Papagomo, berkata dia menerima panggilan daripada pegawai polis daripada Bukit Aman, dua hari lalu yang memintanya hadir bagi memberi keterangan.
Manakala, Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard dan pempengaruh pro-PN, Salim Iskandar pula hadir secara sukarela untuk dirakam keterangan mereka dalam isu sama.

Menurut Papagomo, dia dipanggil memberi keterangan berkaitan laporan polis yang dibuat setiausaha politik perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mendakwa bahawa dia terlibat dalam gerakan tersebut.
"Saya telah memberitahu pihak polis bahawa saya tidak terlibat, dan hanya mengetahui tentang Langkah Dubai ini hanya daripada laporan media yang dibuat oleh Timbalan (Ketua Pengarah) J-Kom (Ismail Yusop)," katanya ketika ditemui selepas memberi keterangan.
Menurutnya, dia turut disoal jika dia mengetahui tentang dakwaan blogger Raja Petra Kamaruddin mengenai akuan berkanun (SD) ahli parlimen yang menarik sokongan terhadap Anwar.
"Saya juga disoal mengenai dakwaan Raja Petra, dan saya menjawab tidak mengetahui tentang dakwaan tersebut," katanya lagi.
Manakala Badrul pula menyelar tindakan kerajaan yang didakwa tidak menghormati proses demokrasi.
Katanya, Anwar, sebelum menjadi perdana menteri kerap membuat kenyataan bahawa kerajaan pada masa itu tidak mempunyai majoriti.

"Sebelum PRN negeri Sabah baru-baru ini, Anwar juga mengumumkan kerajaan hilang majoriti.
"Tapi masa itu, tiada pihak buat laporan polis (atas dakwaan kerajaan tiada majoriti), kerana semua pihak hormat dengan proses demokrasi.
"Langkah Dubai merupakan imaginasi fitnah Ismail di bawah pengaruh Anwar Ibrahim untuk mewujudkan kegusaran awam dan mengganggu gugat proses demokrasi," katanya.
