Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pengerusi PKM Abdullah CD kembali ke rahmatullah
Diterbitkan:  Jan 13, 2024 11:55 AM
Dikemaskini: 6:24 AM

Bekas pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Abdullah CD atau nama sebenarnya Che Dat Anjang Abdullah meninggal dunia hari ini pada usia 100 tahun.

Perkara itu dimaklumkan oleh menantunya Indrajaya Abdullah.

"Bekas Pengerusi PKM dan pengasas pasukan Rejimen Ke 10 Tentera Rakyat Malaya, telah kembali ke rahmatullah pada pukul 9.29 pagi ini di Kampung Perdamaian Sukhirin, Wilayah Narathiwat dalam umur 100 tahun 3 bulan," katanya pada hebahan di media sosial.

Untuk rekod, PKM dengan kerajaan Malaysia dan Thailand memeterai perjanjian damai Hat Yai pada 1989 mengakhiri konflik bersenjata lebih 40 tahun sejak darurat Inggeris 1948.

Ia juga membawa kepada pembubaran PKM dan peletakan senjata gerila komunis.

Walaupun perjanjian itu membenarkan bekas anggota PKM diberi bantuan untuk memulakan hidup baru sama ada menetap di Malaysia atau Thailand namun ramai daripada mereka memilih untuk tinggal di negara jiran itu.

Susulan khabar pemergian Abdullah, ramai yang memberikan ucapan takziah kepada ahllahyarham, antaranya Presiden Amanah Mohamad Sabu.

"Mendapat perkhabaran duka pemergian Allahyarham Abdullah CD @ Cik Dat Anjang Abdullah...

"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh," kata Mohamad pada hantaran di Facebook.

Bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali menyebut keterlibatan Abdullah dalam kemerdekaan.

"Jangan kita lupa bahawa beliau seorang nasionalis yang komited terhadap perjuangan kemerdekaan tulen untuk negara ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata Abdullah seorang patriot.

Bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali.

“Beliau berjuang untuk pembebasan Malaya dan kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris.

"Beliau adalah seorang yang percaya kepada perjuangan bersenjata untuk melawan penjajahan Inggeris," katanya memberi penghormatan kepada Abdullah.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan pula berkata menjadi harapannya untuk sejarah akan berlaku adil kepada Abdullah kerana dia juga berjuang untuk kemerdekaan Malaysia.

“Tulisan dan pandangan dunia beliau tersedia untuk dibaca semua.

“Sumbangannya dan PKM dalam memperjuangkan kemerdekaan diakui sendiri oleh Tunku (Abdul Rahman) dan perjanjian damai yang dimeterai di Hatyai adalah bukti kepimpinan beliau yang tidak dapat dipadamkan dalam sejarah.

“Semoga sejarah berlaku adil dan saksama kepadanya,” katanya.

Bekas presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamad (gambar bawah) berkata Abdullah merupakan tokoh penting yang tidak boleh dilupakan.

"Allahyarham Abdullah CD memainkan peranan penting dalam sejarah kita dan tiada siapa boleh menafikannya.

"Malah bekas timbalan perdana menteri, Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman memuji pemimpin PKM seperti Abdullah CD dan Rashid Maidin, menyatakan mereka telah menyumbang kepada kemerdekaan dengan cara mereka.

“Mereka mempunyai hubungan baik dengan seorang lagi bekas timbalan perdana menteri Ghafar Baba daripada pertubuhan PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) semasa perjuangan kemerdekaan pada tahun 1940an.

"Kita boleh ada perbezaan tetapi sejarah kekal dan anak muda harus tahu tentang sumbangan orang seperti Abdullah.

"Saya ingin melihat kerajaan mengiktiraf pemergiannya pada usia 100 tahun ini," kata Syed Shahir.

Lihat Komen
ADS