Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azalina: K'jaan akan teliti akta parlimen berpenggal tetap
Diterbitkan:  Jan 14, 2024 4:24 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Cadangan agar Akta Parlimen Berpenggal Tetap diperkenalkan semakin mendapat perhatian.

Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata pihaknya menyambut baik cadangan itu.

Dalam kenyataan hari ini, dia berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak, dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan akta tersebut.

Dia berkata dapatan daripada kajian itu kemudian akan diguna pakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet.

"Selain itu, sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan akan dijalankan dalam masa terdekat," katanya mengulas cadangan yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Ahmad Zahid Hamidi

Kumpulan pendesak reformasi institusi, Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama) menggariskan akta itu akan menghalang Parlimen daripada dibubarkan lebih awal secara sewenang-wenangnya, kecuali perdana menteri hilang sokongan.

Bagaimanapun, kumpulan itu menegaskan akta tersebut perlu menggariskan langkah seumpama itu hanya boleh dilakukan di Parlimen, bukannya akuan berkanun (SD).

Mengulas lanjut, Azalina menegaskan saranan presiden Umno itu bukan satu langkah terdesak.

"...Tetapi sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan perpaduan di bawah pimpinan perdana menteri dalam menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi dan memastikan kestabilan politik, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak tentu pada hari ini," katanya lagi.

Dalam mengutarakan cadangannya sebelum ini, Zahid berkata kerajaan yang ditubuhkan oleh gabungan parti dominan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong harus kekal sehingga tamat penggal.

"Jika tidak kita akan mengalami perkara yang terdahulu (peralihan kerajaan di luar pilihan raya) dan ini tidak baik untuk negara dan rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS