Seorang menteri kanan kabinet didakwa telah melesapkan RM30 juta daripada sebuah syarikat tersenarai awam untuk membayar hutang peribadinya 10 tahun lalu, demikian menurut dakwaan sebuah badan pemantau anti-rasuah.

Gerakan Demokrasi dan Anti-Rasuah (Gerak) mendakwa menteri berkenaan adalah dari Umno tetapi pengerusi Gerak, Ezam Mohd Nor, enggan memberi butir-butir lain mengenai identiti individu berkenaan.

Sebelum itu, Ezam menyerahkan dokumen setebal 632 muka surat yang mengandungi bukti-bukti terhadap menteri berkenaan kepada Pejabat Perdana Menteri. Dokumen itu diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Ahmad Yaacob.

Ia termasuk dua laporan polis yang dibuat oleh Pengarah Urusan syarikat terbabit pada tahun 1998, kenyataan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), resit dan invois bayaran membabitkan "ribuan ringgit". Ia juga mempunyai 13 lampiran.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya hari ini, Ezam berkata, Gerak mengambil masa enam bulan untuk mengumpulkan semua bukti tersebut.

Ketika diminta mengenalpasti menteri berkenaan, beliau berkata: "Kita mempunyai perjanjian dengan pejabat PM bahawa mereka yang akan mengumumkannya, bukan saya. Saya memberi penghormatan kepada Perdana Menteri untuk mengumumkan (namanya)."

Tindakan segera

Ezam melahirkan harapannya agar tindakan segera diambil terhadap menteri terbabit.

"Ini adalah satu kes pecah amanah (CBT). Individu atau rakyat Malaysia yang lain akan ditahan jika wujud dengan jelas kes CBT, jadi menteri itu mesti ditahan segera," katanya sambil menambah, perbuatan itu berlaku sebelum dia dilantik menjadi menteri.

Menurut Ezam, Abdullah mahu menemuinya sendiri untuk menerima bukti-bukti tersebut tetapi hari ini Perdana Menteri menghadiri program sehari di Perak.

"Mereka (Pejabat PM) mencadangkan minggu depan, tetapi saya tidak boleh menyimpan lebih lama dokumen ini kerana ia dokumen sulit. Sepatutnyalah dokumen tersebut disimpan oleh Pejabat PM," jelasnya.

Ezam juga berkata, beliau tidak akan menyerahkan bukti-bukti tersebut kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Anda tahu yang saya ada masalah dengan ketua BPR, jadi saya pergi kepada ketua kepada ketua BPR, iaitu Perdana Menteri," katanya berseloroh, merujuk kepada pendedahannya sebelum ini membabitkan bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Zukipli Mat Noor.

Dalam satu lagi perkembangan, Ezam, yang baru-baru ini keluar darpada Parti Keadilan Rakyat (PKR) enggan mengulas kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin yang menuduhnya seorang "pembelot".

Shamsul juga dilaporkan berkata bahawa Ezam adalah sebahagian daripada agenda untuk menjejaskan Ketua PKR, Anwar Ibrahim.

"Saya tidak lagi dalam PKR, saya tidak mahu komen mengenai PKR. Sesiapa sahaja boleh kata apa sahaja yang mereka mahu. Saya di sini sebagai pengerusi Gerak," kata bekas ketua AMK itu. Berita asal