Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan kehakiman dipersalah atas keputusan pendakwa raya

Tengku Maimun Tuan Mat berkata badan kehakiman negara secara tidak adil telah dipersalahkan apabila pendakwa raya menarik balik sesuatu pertuduhan jenayah.

Berucap pada majlis pembukaan tahun undang-undang 2024 di Putrajaya hari ini, Ketua Hakim Negara itu berharap orang ramai memahami bahawa mahkamah mempunyai pilihan yang sangat terhad dalam perkara itu.

Kata Tengku Maimun, apabila pihak pendakwaan menarik balik sesuatu pertuduhan, mahkamah jenayah hanya ada pilihan yang terhad iaitu membenarkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), atau memberi pembebasan penuh.

Tanpa menamakan sesiapa, hakim tertinggi negara itu kemudian merujuk kepada kes jenayah berprofil tinggi pada tahun lepas apabila hakim yang memberikan keputusan DNAA dianggap korup, tidak kompeten atau kedu-duanya oleh pihak tertentu.

Kata Tengku Maimun, orang ramai perlu faham bahawa pihak yang bertanggungjawab untuk keputusan sebegitu itu ialah pendakwa raya dan bukannya mahkamah.

Dia juga menyatakan mahkamah sering dipersalahkan atas keputusan sedemikian dan ia menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman.

Tengku Maimun menjelaskan keputusan pendakwa raya tidak diterima dengan baik oleh orang ramai, tetapi sebahagian besar kesalahan diletakkan pada badan kehakiman kerana membuat ketetapan apabila pertuduhan ditarik balik.

"Ada satu lagi contoh yang menunjukkan bagaimana badan kehakiman secara tidak wajar yang disifatkan sebagai jahat atas tindakan atau tidak bertindaknya badan lain dalam sistem keadilan," katanya.

Dia menambah ia diburukkan lagi dengan komen orang ramai yang dibuat selepas dua kes lain, dengan satu daripadanya pabila Mahkamah Persekutuan - pada 2021 - memutuskan bahawa enakmen Selangor yang melarang seks luar tabii sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Satu lagi kes ialah tindakan Sisters in Islam (SIS) mendapatkan pengisytiharan bahawa Selangor tidak ada kuasa untuk menggubal undang-undang yang memberi kuasa hanya kepada mahkamah syariah bagi mendengar cabaran undang-undang terhadap keputusan pihak berkuasa agama negeri.

Pada 4 Sept tahun lepas, pihak pendakwaan memohon pertuduhan kes rasuah Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ditarik balik.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian membenarkan permohonan pendakwa untuk mendapatkan DNAA.

Tidak seperti pembebasan penuh, DNAA masih membuka ruang untuk tertuduh didakwa semula jika Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk berbuat demikian pada masa hadapan.

Dalam ucapannya hari ini, Maimun berkata adalah malang apabila ada pihak tertentu menimbulkan sentimen orang ramai secara berlebihan terhadap dua kes mahkamah berkaitan undang-undang Selangor.

Katanya kes-kes itu tidak ada kaitan dengan ancaman terhadap Islam sebenar sebaliknya semata-mata mahu menegaskan had kuasa yang jelas di antara persekutuan dan negeri-negeri.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS