Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramasamy 'sangat terkejut' Dr M anggap DAP parti berbilang kaum
Diterbitkan:  Jan 16, 2024 1:06 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengangkat DAP sebagai parti berbilang kaum.

Ramasamy juga berkata Mahathir tidak layak untuk menegur kaum India sebagai tidak setia sedangkan dia yang didakwa bertanggungjawab terhadap perpecahan etnik, agama dan sosial.

“Saya sangat terkejut kerana Mahathir yang tidak pernah mengucapkan kata-kata baik kepada DAP di masa lalu, kini berusaha membela parti tersebut sebagai parti yang berbilang kaum. 

“Sebelum ini, dia menggunakan DAP yang mudah ditipu untuk menjatuhkan pemerintahan Najib Razak.

"Ya, saya meletak jawatan daripada DAP pada Ogos 2023 sebelum pilihan raya negeri. Alasan saya kerana mendapati parti itu sebenarnya bukan terbuka untuk pelbagai kaum. 

“Sebaliknya kepelbagaian kaum digunakan parti itu dengan kehadiran pemimpin India dan Melayu untuk menyebarkan agenda politiknya sendiri yang berkisar sekitar kuasa, kedudukan dan berkepentingan atau stooge politics.

“Oleh itu, saya keluar parti bukan kerana ia berbilang kaum tetapi sebaliknya ia tiada kaitan dengan berbilang kaum,” kata Ramasamy.

Semalam, Mahathir membidas Ramasamy dengan menyorot kekesalan bekas pemimpin DAP itu dengan ketiadaan orang India dilantik sebagai menteri.

Mahathir juga turut mendakwa Ramasamy bersikap perkauman apabila dia meninggalkan DAP dan menubuhkan parti untuk orang India.

Terdahulu Perang mulut antara kedua-dua pemimpin itu meletus selepas Mahathir mempersoalkan kesetiaan masyarakat India Malaysia dalam wawancara dengan stesen televisyen di India.

Sementara itu, Ramasamy berkata dia kini dalam proses mendaftarkan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) iaitu parti baru untuk masyarakat India.

Katanya, walaupun ia parti politik India berasaskan Tamil, keahliannya terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin terhadap penghakisan hak asasi dan demokrasi.

“Dalam pengertian ini, Urimai bukanlah parti perkauman, tetapi sebuah parti yang akan ditubuhkan untuk menangani nasib miskin India dan terpinggir, tanpa mengabaikan hak kumpulan etnik lain,” kata Ramasamy.

Sementara itu, Ramasamy berkata dia mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mengenepikan menteri berketurunan India daripada kabinet ketika pihak lain dipilih “berdasarkan pertimbangan kaum dan kuota”.

“Jika pelantikan kabinet berdasarkan pertimbangan perkauman, apa salahnya meminta pelantikan menteri dari kaum India mencerminkan komposisi komunal masyarakat India?

"Jika menteri Cina dan Melayu dilantik atas pertimbangan etnik, mengapa orang India perlu berpuas hati dengan hanya 'menteri Malaysia' tanpa mengira bangsa dan agama?" soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS