Penduduk tempatan menggerakkan bantahan terhadap cadangan empangan Tutoh/Apoh dekat Baram, yang dikatakan Premier Sarawak Abang Johari Openg boleh membantu menghalau buaya.
Setelah mengumpul sekurang-kurangnya 500 tandatangan dalam petisyen menentang rancangan itu, ketua masyarakat berkata penduduk tempatan sebelum ini tidak dimaklumkan apa-apa mengenai cadangan berkenaan.
“Kami tidak menentang pembangunan. Tetapi kami sangat prihatin apabila projek pembangunan dibuat dengan cara di mana kami, sebagai masyarakat yang terjejas, tidak pernah terlebih dahulu didekati dan dimaklumkan mengenainya.
"Jadi untuk tiba-tiba membaca tentangnya di surat khabar, kami jadi sangat bimbang," kata Ding Laing dari Long Panai, salah satu kampung di sepanjang sungai Tutoh, dalam satu kenyataan hari ini.
Komuniti Long Panai juga telah menulis surat kepada Abang Johari November lalu untuk mendapatkan maklumat lanjut, tetapi tidak menerima jawapan.
Kumpulan itu menyasarkan untuk menyerahkan petisyen itu kepada Abang Johari dan agensi berkaitan pada akhir bulan ini.

Dalam beberapa bulan lalu, Abang Johari telah mengadakan beberapa acara umum tentang bagaimana empangan melata (cascading) di sungai Tutoh boleh menangani masalah populasi buaya yang kian meningkat selain menjana elektrik bagi penduduk setempat dan menjaga biodiversiti sungai.
Dia juga mendakwa masyarakat setempat telah meminta empangan tersebut dibina.
“Sebabnya untuk menjaga hubungan antara manusia dan buaya, namun inisiatif ini juga akan menjana pendapatan Sarawak. Ini adalah inovasi dan idea baharu,” katanya pada satu majlis Oktober lalu.
Dia mengulangi pandangan sama pada bulan November.
Bagaimanapun, NGO Save Rivers yang berpangkalan di Miri berkata tiada bukti bahawa terdapat peningkatan konflik buaya-manusia di kawasan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengarah urusan Save Rivers Celine Lim berkata cadangan bahawa empangan itu boleh diterima kerana penduduk tempatan tidak lagi menggunakan sungai itu amat "membimbangkan".
“Cadangan bahawa masyarakat tidak lagi menggunakan sungai adalah amat membimbangkan dan menunjukkan bahawa pembuat dasar tidak berpijak pada realiti.
"Walaupun penting untuk peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, peralihan tenaga ini mestilah adil dan itu termasuk menegakkan hak Persetujuan Bebas, Terdahulu, Termaklum (FPIC) Orang Asal.
"Dalam surat kami kepada pejabat premier tahun lepas, kami meminta akses kepada kajian kebolehlaksanaan tapak empangan yang dicadangkan ini dan penyelidikan yang menonjolkan sambungan pembinaan empangan sebagai kawalan populasi buaya yang berkesan. Kami juga tidak menerima sebarang maklum balas," tambahnya. .
Sarawak sedang berusaha untuk menjadi pembekal utama tenaga boleh diperbaharui di rantau ini, dan kini membekalkan elektrik ke Sabah dan sebahagian Kalimantan di Indonesia.
Terdapat juga rancangan untuk Sarawak menjual elektrik kepada Singapura, tetapi perbincangan masih di peringkat awal dan memerlukan pemasangan kabel dalam laut antara Borneo dan Singapura.
Walau bagaimanapun, kumpulan alam sekitar mengatakan empangan hidroelektrik besar merosakkan alam sekitar, dan tenaga elektrik yang dijana melaluinya tidak dikira sebagai tenaga boleh diperbaharui di banyak bidang kuasa dunia.
