Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco: Tarif air baru bantu naik taraf khidmat AKSB
Diterbitkan:  Jan 18, 2024 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Pelarasan tarif air yang berkuat kuasa pada 1 Feb dapat membantu kerja-kerja pembangunan, naik taraf, baik pulih serta penyelenggaraan infrastruktur bekalan air dengan lebih lancar dan sempurna seterusnya meningkatkan perkhidmatan air bersih di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata ia juga bakal memberi kesan langsung terhadap kualiti perkhidmatan kepada pengguna termasuk menangani gangguan bekalan dan aduan berkaitan masalah bekalan air.

“Semakan pelarasan tarif bagi perkhidmatan air di Kelantan kali terakhir dibuat pada 2013.

“Dalam tempoh 11 tahun itu, kos operasi untuk memproses dan penghantaran air bersih kepada pengguna termasuk kos pembaikan, bahan kimia, gaji, elektrik dan sewa pajak untuk projek telah meningkat naik berkali ganda,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Izani yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkata dalam tempoh itu juga, syarikat terbabit terpaksa menyerap segala kos tersebut dalam pengoperasian harian sehingga ke tahap yang sudah tidak mampu untuk menampung kos-kos tersebut tanpa pelaksanaan pelarasan tarif baru.

"AKSB juga terpaksa menampung kos elektrik tambahan iaitu Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sejak 2022," katanya.

Jumlah akaun pengguna di Kelantan ialah 276,171 dengan 238,235 daripadanya adalah akaun domestik manakala selebihnya akaun komersial.

Sebelum ini bekas Pengurus Besar AKSB Dr Nazmi Ghazali Azmi memaklumkan berpandukan kepada Pelan Induk 2021-2030 sebanyak RM5.03 bilion diperlukan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi program pengurusan air tidak terhasil (NRW) berjumlah RM1.7 bilion, Pembangunan Takungan Pinggir Sungai (TAPS) RM2.1 bilion, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) mini RM120 juta, pembinaan LRA baru (RM740 juta), naik taraf LRA sedia ada (RM300 juta) dan pengurusan aset (RM70 juta).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS