Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC mula prosiding pelaksanaan Sistem Tol Aliran Pantas bulan depan
Diterbitkan:  Jan 22, 2024 12:34 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bercadang memulakan prosiding berhubung pengurusan pelaksanaan projek Sistem Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula 26 Feb ini.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pihaknya akan memanggil wakil Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia serta mendapatkan pandangan daripada operator lebuh raya mengenai pelaksanaan projek itu pada prosiding berkenaan.

Mas Ermieyati Samsudin

"Persetujuan dicapai sebulat suara dalam perbincangan khas ahli-ahli PAC di Parlimen dan Jawatankuasa ini akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat (PM) 77(1)(d) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR), Arahan Perbendaharaan 301 Tahun 2023 dan Seksyen III Perkara 11 (b) Pekeliling Am No. 2 (1982),” katanya dalam kenyataan hari ini.

MLFF ialah satu sistem kutipan tol tanpa perlu berhenti yang menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) selain sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) yang dirancang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol. 

Secara prinsip, pelaksanaannya diluluskan pada 2021 oleh kerajaan terdahulu dengan peruntukan awal berjumlah RM3.46 bilion.

Namun, projek itu dilaporkan dibantah 32 syarikat konsesi tol lebuh raya yang mendakwa kerajaan telah menganugerahkannya secara langsung kepada sebuah syarikat swasta, YTL Corporation Bhd, tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akan membiayai pelaksanaannya.

Isu terbabit turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata kerajaan pimpinannya akan meneliti semula perjanjian dan proses pengurusan tender yang dibuat berhubung projek itu.

Dalam perkembangan lain, bagi tujuh isu yang dipilih daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, tiga daripadanya iaitu isu pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi, Syarikat UiTM Holdings Sdn Bhd dan Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara telah selesai sepenuhnya.

Prosiding bagi empat isu lain melibatkan pengurusan Sistem Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx), Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), hutan dan impak kepada alam sekitar, serta projek naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah, akan diteruskan dengan prosiding susulan.

"Jawatankuasa berpendapat masih ada penjelasan yang perlu diberikan kementerian berkenaan berkaitan tajuk-tajuk terbabit," katanya.

Menurut Mas Ermieyati, PAC juga akan meninjau bangunan sekolah daif di Sarawak dan Sabah bagi melengkapkan prosiding pembangunan semula bangunan daif di sekolah dan jawatankuasa itu komited untuk membentangkan semua laporan berkaitan pada sidang Parlimen depan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS