Kerajaan masih meneliti cadangan untuk menaik taraf lesen menunggang motosikal bagi kelas B2 kepada B penuh secara automatik.
Meskipun, sedang mencari mekanisme untuk menyegerakan pelaksanaan cadangan tersebut, namun kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi kerajaan juga sedang melakukan beberpa penelitian. Antaranya, mengkaji umur penunggang dan tempoh pemilikan lesen.
"Apa yang telah kami bincangkan bahawa perlu ada tempoh tertentu terutamanya dari segi umur pemohon itu mesti berumur 35 tahun ke atas.
"Kedua, pemegang lesen B2 itu untuk satu tempoh yang tertentu barulah layak untuk dapat B (penuh)," katanya pada sidang media selepas sesi libat urus bersama Persatuan Motosikal di Putrajaya, hari ini.
Menurut Zahid, perkara itu juga akan dimuktamadkan apabila mesyuarat terperinci diadakan diantara antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Traffik (JSPT).
"Ini saya serahkan kepada Anthony Loke Siew Fook (Menteri Pengangkutan) untuk tentukan bila tarikhnya," katanya.
Bagaimanapun Loke, ketika mengulas lanjut berkata pihaknya akan memutuskan perkara itu “selaju roket”.
Namun, semasa sesi libat urus Loke berkata, keputusan menaik taraf kepada lesen B penuh tidak mudah seperti dijangka.
Ini kerana katanya statistik JSPT menunjukkan kemalangan jalan raya paling banyak melibatkan mereka yang berumur dalam kalangan 16 hingga 35 tahun.
“Kita lihat data, kalau budak yang baru dapat lesen B2 diberi lesen B, dia akan bertindak sewenang-wenangnya, kalau berumur sedikit mungkin lebih berpengalaman selain ada tanggungjawab kepada keluarga dan sebagainya,” katanya.
Ogos tahun lalu, Zahid sendiri yang adalah penunggang tegar motosikal berkuasa tinggi dilaporkan berkata, cadangan menaik taraf lesen menunggang motosikal bagi kelas B2 kepada B, secara automatik akan dibawa kepada Kementerian Pengangkutan untuk diteliti..
Katanya, tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.
JPJ ketika ini mengklasifikasikan lesen memandu Kelas B2 bagi motosikal tidak melebihi 250cc, manakala Kelas B membabitkan motosikal melebihi 500cc.
Dalam perkembangan lain, Loke turut meminta pihak pengajur program permotoran agar bekerjasama dengan kementeriannya bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingin seperti yang berlaku di Terengganu sebelum ini.
Kata Loke, kerjasama strategik itu perlu bagi memastikan setiap penganjuran program permotoran yang ingin dilakukan mematuhi undang-undang dan keselamatan penunggang.
“Katakan ada program besar dan berlaku kemalangan yang melibatkan penunggang motorsikal yang tiada lesen, tiada cukai jalan, nanti JPJ yang kena juga.
“Orang ramai akan salahkan (JPJ) kenapa tak buat penguatkuasaan? Jadi, kita kena lihat dua-dua belah pihak.
“Jadi, saya minta supaya…bukan kita nak susahkan dan sebagai menteri kita galakkan penganjuran program besar seperti ini kerana ia membawa limpahan ekonomi. Kita faham, tetapi jangan kita gadaikan keselamatan kita.
“Itu yang saya minta ada kerjasama strategik,” katanya.
Menurut Loke, komuniksi dua hala ini penting dan berharap ia dapat dilakukan lebih kerap.
“Apa saja program besar yang hendak dibuat (disarankan) didaftarkan peserta yang hadir dan serah kepada JPJ. Melaluinya kita akan semak siapa yang tak ada cukai jalan dan kita mahu bantu mereka berada di atas jalan raya dengan sah(patuhi undang-undang). Itu tujuan kita,” katanya.
Loke juga mencadangkan satu perbincangan lebih lanjut untuk melihat mekanisme pelaksanaannya kelak.
“Selain itu saya juga tidak ada masalah jika mahu menjemput pengarah JPJ untuk turut sama dalam program terbabit, tapi saya maklum penunggang motosikal bukan suka dengar apa yang hendak dikatakan kerana dia akan cakap berapa jumlah kemalangan, statistik, berapa orang saya saman.
“Jadi saya juga mohon supaya penunggang motosikal yang ada disini bantu kita. Kalau ada pempengaruh di kalangan penunggang motosikal kita bagi mandat kepada mereka untuk jadi penceramah, jadi ejen kepada kita untuk menyebarkan dari segi maklumat keselamatan. Itu lebih berkesan,” tambahnya.
