Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suami dakwa bekas isteri larikan anak untuk sertai kultus

Kali terakhir Lakshna Rau Soorichandran (gambar atas) memegang anak perempuannya yang berusia 10 tahun adalah pada Disember 2021. Dia kini meminta bantuan kerajaan untuk menyatukan mereka semula.

Pemandu lori berusia 39 tahun itu mendakwa bekas isterinya, yang ketika itu masih berkahwin dengannya, melarikan diri ke luar negara bersama anak mereka, yang ketika itu berusia tujuh tahun, untuk menyertai kultus kontroversi di India yang diterajui Swami Nityananda.

“Saya tahu Shalini adalah pengikut Nityananda sebelum kami berkahwin. Walaupun sudah memberitahunya tentang skandal yang berkisar tentang amalan kumpulan itu, Shalini enggan dengar cakap saya.

“Jadi kehidupan kami diteruskan seperti biasa sehingga saya pulang ke rumah pada 8 Dis (2021) dan mendapati rumah saya kosong.

“Sebelum saya pergi kerja, dia memberitahu saya dia akan pergi ke rumah rakannya dan saya tidak pernah mengesyaki dia akan mengambil anak perempuan saya,” katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Hak Bapa Malaysia (Fram) di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Lakshna, dia hanya menyedari bekas isterinya sudah menghantar pakaian dan barang-barangnya kepada ibunya selepas itu.

Dia juga gagal mendapatkan maklumat mengenai keberadaan anak perempuannya daripada keluarga bekas isterinya, yang didakwanya juga pengikut kumpulan kultus tersebut.

“Sejak mereka hilang, saya mencari di merata tempat, membuat laporan polis dan mendapatkan bantuan undang-undang berhubung kes ini.

“Saya risaukan anak perempuan saya. Saya bapanya tetapi saya tidak tahu di mana dia berada. Saya rindukan dia.

"Kerajaan ini adalah satu-satunya harapan saya untuk mendapatkannya kembali, saya tidak mempunyai orang lain," katanya, sambil menambah bahawa tidak ada hubungan dengan isteri dan anak perempuannya sejak tiga tahun lalu.

Santini Thanapalan

Lakshna berkata apabila dia menyemak e-mel bekas isterinya, dia menemui jemputan ke program latihan agama di Trinidad dan Tobago serta maklumat mengenai permohonan visa.

“Berdasarkan apa yang saya kumpulkan, saya percaya dia terlebih dahulu terbang ke Doha sebelum ke Trinidad dan Tobago.

“Pada 14 Dis 2021, semasa mencari mereka, saya menyedari wang tunai RM15,000 dan barang kemas bernilai RM35,000 yang saya simpan di dalam rumah turut hilang,” katanya.

Berharap untuk bertemu PM dan KPN

Peguam Lakshana, Santini Thanapalan berkata, anak guamnya meminta bantuannya pada Feb 2022.

“Dia menjelaskan kepada saya apa yang berlaku dan kami terus mengambil tindakan undang-undang. Pada 24 Jun 2022, mahkamah memberikan hak penjagaan penuh anak guam saya terhadap anak perempuannya serta Dekri Nisi yang menyatakan perceraian antara anak guam saya dan isterinya.

“Dia menyangka selepas mendapat perintah jagaan, anak perempuannya akan kembali. Bagaimanapun kami telah diberitahu bahawa Interpol perlu menerima perintah mahkamah terlebih dahulu. Kami kini menunggu perintah mahkamah mengenai pemulangan kanak-kanak itu,” tambahnya.

Presiden Fram Malcolm Fernandez (tengah)

Sementara itu, Presiden Fram Malcolm Fernandez berkata mereka berharap dapat bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

"Kami akan menulis surat kepada KPN dan perdana menteri mengenai perkara ini," katanya.

Fernandez berkata dalam salah satu mesej kepada Lakshana, bekas isterinya berkata dia menyayangi suaminya tetapi ketaatannya terhadap kultus itu lebih kuat.

"Bayangkan berada di kedudukan Lakshana, seorang bapa yang tidak tahu di mana anak perempuannya atau bagaimana keadaannya," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS