Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan Jong Melayu? UPM pertahan kajian dipertikai sejarawan asing
Diterbitkan:  Jan 23, 2024 4:14 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini mempertahankan ahli akademiknya Rozita Che Rodi dan Hashim Musa berkaitan dakwaan mereka telah menulis semula sejarah maritim Melayu.

"Artikel yang telah diterbitkan dalam jurnal berkaitan disenaraikan di dalam pangkalan data ERA mempunyai polisi blind peer reviewed, refereed journal bermaksud jurnal kajian ini telah disemak oleh pakar dalam bidang, yang tiada kaitan dengan penyelidik bagi mengelakkan konflik kepentingan untuk mengesahkan dapatan kajian,” kata universiti itu pada satu kenyataan.

"Juga harus dipertimbangkan bahawa bidang sains sosial dan kemanusiaan adalah terbuka kepada interpretasi untuk pelbagai tafsiran yang mana ia adalah amalan baik untuk kajian seperti ini bagi tujuan penambahbaikan,” katanya lagi.

Sabtu lalu, sejarawan Perancis Serge Jardin memuat naik di akaun Facebooknya mengenai artikel Rozita dan Hashim bertajuk 'The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization' yang diterbitkan dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, Vol .13, Isu 11, 2023.

Dia mendakwa gambar dalam artikel itu bukan jong Melayu sebaliknya kapal Foochow.

“Pertama, foto itu tidak menunjukkan jong Melayu tetapi Foochow pole Junk dari China.

"Kedua, model itu bukan di Muzium Maritim Jakarta tetapi di Muzium Diraja Greenwich, England (ID: AAE0200). Di muzium semua pameran mempunyai nombor pengenalan (foto 2)," katanya.

Dia kemudian memberikan pautan kepada model kapal Foochow yang dipamerkan oleh Muzium Diraja Greenwich.

Bertentangan dengan artikel itu, dia juga mendakwa pelaut tempatan tidak menggunakan kapal layar semasa zaman Kesultanan Melaka kerana ia hanya diperkenalkan ke wilayah itu semasa kedatangan Portugis.

"Gali, Mendam Berahi, Hikayat Hang Tuah (garapan abad ketujuh belas) adalah anakronisme," katanya.

Jardin mempersoalkan kredibiliti jurnal itu juga, bertanya sama ada terdapat proses semakan pakar (peer review) terlibat dalam penerbitan artikel berkenaan.

UPM menegaskan pihaknya komited memelihara martabat pendidikan tinggi serta meneruskan integriti dalam aktiviti penyelidikan ilmiah dan penerbitan akademik.

Malaysiakini telah menghubungi Jardin, Rozita dan Hashim untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS