Paling Popular
Terkini

KOMENTAR | Perubahan kepada struktur harga tambang asas Grab Malaysia daripada RM5 kepada RM4 baru-baru ini mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan kira-kira 300 pemandu Grab yang diwakili Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, khususnya di Lembah Klang.

Penstrukturan semula itu melibatkan pengurangan tambang asas pemandu sambil meningkatkan insentif untuk penghantaran pada waktu puncak, pengambilan jauh dan masa tambahan bagi penghantaran barangan kutipan (pick-up).

Penstrukturan itu mencetuskan bantahan yang ketara dengan pemandu menggesa kerajaan untuk campur tangan.

Senario itu mempunyai persamaan yang ketara dengan protes yang dimulakan oleh pemandu teksi pada 2016 dan 2018 apabila mereka mendesak kerajaan mengharamkan Grab.

Ketika itu pembantah menganggap kemudahan Grab sebagai pesaing langsung kepada perkhidmatan teksi tradisional.

Walaupun keadaan yang membawa kepada kontroversi Grab kali ini agak berbeza, ada satu persamaan di antara mereka iaitu gesaan agar kerajaan terlibat membentuk dasar yang memberi kesan kepada sektor swasta.

Artikel ini tidak berhasrat untuk menolak rungutan penghantar atau rakan pemandu, apatah lagi mempertahankan Grab, tetapi ingin menekankan kepentingan mempertahankan pilihan pengguna.

Ia menggesa kerajaan agar berhati-hati terhadap desakan tergesa-gesa atau bersifat populis yang berpotensi membebankan pengguna dengan kesan campur tangan dasar untuk menetapkan kadar lantai.

Ekonomi gig, Grab dan pilihan

Ekonomi gig merujuk kepada pasaran buruh yang dicirikan oleh pengaturan pekerjaan jangka pendek dan fleksibel. Individu yang terlibat sering dirujuk sebagai pekerja gig.

Mereka bekerja dalam persekitaran yang dinamik, dan mereka mempunyai kebebasan untuk memilih bila dan seberapa banyak ia mahu dilakukan pasa sesuatu masa.

Seperti kebanyakan pemain baru dalam ekonomi gig, Grab pada mulanya beroperasi dengan kerugian disebabkan tumpuan strategiknya pada pengembangan pesat dan penguasaan pasaran.

Dengan mensubsidikan perkhidmatan, menawarkan harga yang kompetitif, dan melabur banyak dalam pemerolehan pelanggan Grab mengukuhkan dirinya sebagai salah satu pemain terkemuka dalam sektor pengangkutan dan penghantaran di rantau Asia Tenggara.

Dalam memastikan kelangsungan untuk beroperasi dan memberikan perkhidmatan kepada pengguna, Grab membuat penstrukturan semula untuk mengurangkan kos.

Antara langkah diambil bagi penjimatan termasuk mengecilkan insentif pengguna dan pekerja.

Kini, Grab dalam fasa untuk mengurangkan lagi jurang kerugian bersih berjumlah AS$99 juta sehingga suku ketiga 2023.

Bekerja dengan Grab menyediakan fleksibiliti dan sumber pendapatan alternatif. Pekerjaan ekonomi gig selalunya tidak mempunyai jaminan pekerjaan, faedah, dan peluang pertumbuhan kerjaya jangka panjang.

Bekerja untuk Grab ialah pilihan yang dibuat untuk keperluan kewangan segera atau fleksibiliti, bukannya laluan untuk kemajuan atau perkembangan profesional.

Harga lantai, sekatan inovasi

Melaksanakan dasar harga lantai untuk p-hailing dan e-hailing seperti Grab mungkin secara tidak sengaja menyekat inovasi selain mengehadkan pilihan pengguna dalam industri pengangkutan.

Tahap harga yang ditetapkan oleh kerajaan boleh mencipta garis dasar yang seragam untuk tambang, tetapi pada masa sama akan mengehadkan fleksibiliti yang dimiliki platform dalam bereksperimen dengan model harga yang berbeza.

Sekatan ini mungkin menghalang pendekatan inovatif terhadap harga dinamik, yang membolehkan pelarasan berdasarkan permintaan, bekalan dan faktor masa nyata yang lain.

Tambahan pula, penetapan harga akan mengurangkan persaingan antara platform e-hailing, kerana mereka akan dikekang untuk beroperasi dalam sempadan harga yang sama.

Dalam pasaran yang dinamik, persaingan sering mendorong peningkatan dalam kualiti perkhidmatan dan inovasi. Dengan menetapkan aras harga, kerajaan berisiko menghalang landskap kompetitif ini, yang berpotensi menjejaskan pelbagai pilihan yang tersedia untuk pengguna.

Mengimbangi peraturan untuk melindungi hak pekerja sambil membenarkan fleksibiliti yang dipacu pasaran adalah penting untuk memupuk inovasi dan kepuasan pengguna.

Selain itu, penetapan harga juga akan memberi kesan ke atas pendapatan pemandu.

Ia mungkin nampak bermanfaat untuk pemandu, tetapi sebenarnya boleh membawa kepada akibat yang tidak diingini. Contohnya, mungkin akan mengurangkan bilangan kuota penghantaran yang boleh dilakukan oleh seseorang pemandu.

Secara tidak langsung mengehadkan pendapatan pemandu dan perkhidmatan yang boleh diberikan. Akhirnya, pengguna mungkin mencari alternatif lain yang lebih berpatutan dan cekap.

Galakkan pasaran kompetetif

Berbanding penetapan harga lantai, kaedah yang lebih sesuai ialah memperkenalkan pendekatan harga dinamik. Ia berfaedah dalam rundingan harga antara pekerja (pemandu, penghantar) dan pengguna.

Pengguna mempunyai fleksibiliti untuk memilih antara pilihan harga yang berbeza berdasarkan keperluan mendesak, peruntukan kewangan dan peruntukan sumber.

Ini mampu menampung pilihan pengguna yang pelbagai dan menggalakkan pasaran yang kompetitif.

Tambahan pula, ia juga mampu mengimbangi penawaran dan permintaan pada masa nyata.

Semasa permintaan tinggi, harga meningkat lalu memberi insentif kepada lebih ramai pemandu untuk tersedia, dan memastikan perkhidmatan segera untuk pengguna.

Ketika permintaan rendah, harga menurun, lalu ia menawarkan penjimatan kos untuk pemandu.

Pendekatan ini membolehkan sistem harga mengoptimumkan kebolehsuaian dengan pelbagai faktor seperti cuaca, acara khas dan keadaan trafik.

Model dinamik ini juga akan meningkatkan kecekapan dan responsif dalam platform, seterusnya memberi manfaat kepada kedua-dua pekerja dan pengguna.

Namun kejayaannya bergantung kepada syarat adanya garis panduan jelas untuk mengelakkan manipulasi harga dan mengekalkan ketelusan dalam struktur harga.


TARMIZI ANUWAR ialah anggota sekutu Malaysia di Pusat Pilihan Pengguna.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS