Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas bos imigresen KSU baru KSM: Aktivis harap yang terbaik
Diterbitkan:  Jan 26, 2024 9:00 AM
Dikemaskini: 1:00 AM

Seorang aktivis hak asasi migran mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas ketua Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud dalam melaksanakan tugas barunya sebagai ketua setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Bersama Kementerian Dalam Negeri, KSM memainkan peranan penting dalam menguruskan pekerja asing manakala pengendalian Jabatan Imigresen terhadap pendatang asing di bawah pengawasan Khairul sering dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia.

Bercakap kepada Malaysiakini, wakil Migrant Care Alex Ong (gambar bawah) berkata antara lain, kedudukan Malaysia dalam senarai pemerhatian pemerdagangan manusia AS telah jatuh ke Tahap 3 - kedudukan terendah - semasa Khairul menerajui jabatan itu.

Kedudukan Malaysia berada di Tahap 3 senarai pemerhatian pemerdagangan pada 2021 dan 2022, sebelum naik semula ke Tahap 2 tahun lepas.

Penurunan ke Tahap 3 disebabkan terutamanya oleh isu buruh paksa.

Khairul merupakan ketua pengarah Jabatan Imigresen dari Januari 2019 hingga Mac 2023 apabila dia ditukarkan untuk mengetuai Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.

Ong berkata salah satu penyumbang terhadap isu pemerdagangan di bawah pengawasan Khairul ialah Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) Jabatan Imigresen - yang diwarisi oleh pihak Imigresen.

"Ia menggalakkan penyeludupan manusia," dakwa Ong.

Sebelum ini, kedutaan Indonesia telah mengkritik sistem MOS kerana membenarkan wanita Indonesia memasuki Malaysia dengan visa pelancong untuk kemudian menukarnya kepada permit kerja, yang membawa kepada "kehilangan" selalunya berakhir dengan keadaan yang memudaratkan.

Ong berkata terdapat kelemahan dalam kawalan imigresen sempadan dan pengurusan pintu masuk ke negara ini juga.

Dia juga mengkritik penahanan kanak-kanak di depoh imigresen sebagai melanggar Konvensyen Hak Kanak-kanak PBB.

Kritikan lain yang dilemparkan terhadap Jabatan Imigresen semasa pimpinan Khairul termasuk penganiayaan tidak berperikemanusiaan terhadap pendatang tanpa izin di pusat tahanan serta semasa serbuan yang dijalankan pada kemuncak pandemik Covid-19.

Terdapat juga kes kematian seorang pelajar PHD Nigeria dan seorang pelancong India semasa dalam tahanan Imigresen. Suhakam telah mengkritik penahanan itu sebagai salah.

Pada masa ini, isu hak migran kembali menjadi tumpuan selepas Malaysiakini mendedahkan sindiket yang selama ini memanipulasi sistem kerajaan bagi kuota pekerja asing untuk mengaut keuntungan.

Sindiket itu menggunakan dokumen palsu untuk membawa masuk ratusan pekerja asing untuk pekerjaan yang tidak wujud.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim telah menyatakan penderian tegas terhadap amalan sedemikian, termasuk mewajibkan syarikat yang membawa masuk pekerja asing membayar gaji mereka walaupun tiada kerja untuk mereka.

'Peranan baru kepimpinan holistik berwawasan'

Ong menggesa Khairul supaya tidak terlalu menumpukan perhatian kepada pekerja asing dalam pekerjaan barunya.

Sebaliknya, wakil Migrant Care berkata perlu ada tumpuan yang lebih besar pada ketelusan dalam birokrasi, pembaruan dan menangani jurang dalam dasar.

Ini kerana Kementerian Sumber Manusia mempunyai peranan yang lebih penting dalam menyokong pembangunan modal insan Malaysia.

“Peranan baru itu memerlukan pendekatan kepimpinan holistik yang lebih berwawasan melangkaui lorong tunggal penguatkuasaan undang-undang.

"100 hari pertamanya adalah penting. Merombak dan membersihkan sistem yang terhakis secara mendalam memerlukan stamina dan kemahuan politik, bukan kemahuan birokrasi," katanya.

"Saya mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam menyelesaikan isu belia dan graduan yang menganggur untuk mewujudkan nilai pekerjaan di pasaran kerja Malaysia dan luar negara," tambah Ong.

Khairul memulakan tugas barunya sebagai ketua setiausaha Kementerian Sumber Manusia pada Isnin.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS