Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Tak perlu syarat jaminan tambahan, Daim buta sebelah mata’
Diterbitkan:  Jan 29, 2024 12:23 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi membenarkan bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 70 aset dan akaun bank miliknya, diikat jamin dengan wang jaminan RM280,000.

Dia bagaimanapun menolak permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mencadangkan Daim diikat jamin di antara RM250,000 dan RM500,000 dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan juga memohon bekas menteri kanan itu dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM, Putrajaya sebulan sekali, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Wan Shaharuddin juga memohon supaya mahkamah mengeluarkan nasihat supaya semua pihak tidak memberikan sebarang komen mengenai kes berkenaan selepas ini.

“Kami faham rakyat Malaysia diberi kebebasan untuk bersuara namun ada had yang perlu dipatuhi… kenyataan yang dibuat selepas kes dipertuduhkan akan memprejudiskan kes kelak.

“Ia bukan suatu perintah larangan atau ‘gag order’ tetapi lebih kepada nasihat daripada mahkamah supaya tertuduh tidak membuat ulasan sehingga kes ini selesai,” katanya.

Bagaimanapun barisan peguam bela Daim yang diketuai oleh M Puravalen membantah.

Katanya, mahkamah tidak perlu mengenakan syarat tambahan berdasarkan keadaan kesihatan anak guamnya yang mustahil mengunakan pasport bagi membuat perjalanan jauh.

“Yang Arif boleh lihat sendiri keadaannya yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda.

“Dia adalah pesakit buah pinggang dan pernah diserang angin ahmar, malah sebelah matanya sudah dikeluarkan kerana dijangkiti kuman,” katanya.

Peguam itu juga membantah syarat tambahan supaya Daim dikehendaki melaporkan diri ke pejabat SPRM di Putrajaya.

Azura kemudian membenarkan bekas bendahari Umno itu diikat jamin dengan RM280,000 dan tidak mengenakan syarat jaminan tambahan selepas menimbangkan keadaan kesihatan bekas menteriitu.

Daim yang hadir memakai sut hitam dan berkerusi roda, dibenarkan berada di luar kandang tertuduh sepanjang proses pertuduhan, hari ini.

Dia yang memegang jawatan dalam kabinet pimpinan Dr Mahathir Mohamad ddakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023.

Dia dikwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS