Dr Mahathir Mohamad telah berkhidmat dua kali sebagai perdana menteri selama 24 tahun, dan banyak dasar telah dilaksanakan semasa pentadbiran itu.
Namun, ada keputusannya itu dipertikaikan setelah terbukti kontroversi dan menjadi penelitian suruhanjaya siasatan diraja (RCI).
Misi pencarian fakta ad-hoc ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong - lazimnya dengan nasihat daripada perdana menteri - di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan mempunyai kuasa yang luas untuk menyiasat perkara dalam bidang rujukan mereka.
Minggu lalu, kerajaan mengumumkan RCI akan ditubuhkan untuk menyiasat isu kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
BACA LANJUT: Bagaimana Malaysia hilang kedaulatan Pulau Batu Puteh?
Skop RCI ini masih belum jelas, tetapi sekali tumpuan adalah kepada Mahathir.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu esok, tidak merahsiakan kekecewaannya terhadap keputusan kerajaan Mahathir pada 2018 untuk tidak meneruskan semakan isu itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Berikut adalah senarai ringkas RCI terdahulu yang berkaitan dengan dasar dan keputusan Mahathir.
Mata lebam Anwar
Pada tahun 1998, Anwar Ibrahim yang tidak lagi serasi dengan Mahathir disingkirkan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan. Dia kemudiannya ditangkap.
Apabila dihadapkan ke mahkamah pada 29 Sept 1998 untuk berdepan pertuduhan liwat dan salah guna kuasa, Anwar muncul dengan mata lebam dan memberitahu mahkamah dia dipukul hingga pengsan semasa berada di lokap polis Bukit Aman pada 20 Sept.

Ketua polis negara ketika itu, Abdul Rahim Noor, pada mulanya berbohong dengan mendakwa bahawa Anwar adalah selamat dan kecederaan itu adalah perbiatannya sendirinya.
Laporan siasatan dalaman polis mengesahkan bahawa Anwar dipukul semasa dalam tahanan polis tetapi gagal menemui dalangnya. Alasannya, adalah pegawai penyiasat tidak dapat menemu bual pegawai atasannya.
Hanya selepas RCI ditubuhkan untuk menyiasat kecederaan Anwar, barulah Rahim, yang memberi keterangan kepada suruhanjaya itu pada 2 Mac 1999, mengaku menampar Anwar dan menyebabkan dia terjatuh di lantai simen di bilik kurungannya. Katanya, dia tidak ingat sama ada Anwar juga terus dipukul meskipun Anwar ketika memberi keterangan mendakwa dirinya menerima lebih banyak pukulan.

Prosiding mahkamah berasingan menjatuhkan hukuman penjara dua bulan ke atas Rahim kerana mengasari Anwar. Dia juga memohon maaf kepada Anwar sebagai sebahagian daripada penyelesaian.
Pada 2018, Mahathir mendedahkan bahawa dia marah dengan pihak polis pada 1998 kerana tidak mengheret Anwar ke mahkamah.
‘Correct, correct, correct’ - Krisis kehakiman
Pada 2007, Anwar mendedahkan klip video yang dirakam pada Disember 2001 oleh pemberi maklumat Loh Gwo Burne yang memamparkan perbualan telefon antara peguam kanan VK Lingam dengan Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Mereka membincangkan tentang persaraan Mohamad Dzaiddin Abdullah sebagai ketua hakim negara pada 2003, dan mencadangkan supaya taikun Vincent Tan dan Tengku Adnan Tengku Mansor selaku menteri dibawa berunding dengan Mahathir dalam usaha memastikan Fairuz mendapat jawatan tertinggi badan kehakiman negara.
Fairuz akan menjadi presiden Mahkamah Rayuan setahun selepas perbualan itu, dan menjadi ketua hakim negara selepas persaraan Dzaiddin.
RCI sepatutnya ditubuhkan tidak lama selepas video itu didedahkan. Laporannya yang dikeluarkan pada tahun berikutnya mengesyorkan Fairuz, bekas ketua hakim negara Eusoff Chin, Lingam, Tengku Adnan, Tan dan Mahathir disiasat di bawah pelbagai undang-undang termasuk Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Rasuah dan Undang-undang. Akta Profesion.

Namun begitu, tiada apa-apa tindakan susulan laporan itu selain Lingam dilarang daripada menjalankan amalan sebagai peguam.
Kerajaan memberitahu Parlimen bahawa tiada pertuduhan akan dibuat kerana bukti tidak mencukupi untuk menunjukkan kesalahan jenayah telah dilakukan.
Semasa memberi keterangan kepada suruhanjaya itu, Mahathir menjawab kebanyakan soalan yang dikemukakan dengan mengatakan bahawa dia tidak ingat.
Namun begitu, selepas keputusan kerajaan untuk tidak mendakwa Lingam, dia menyatakan kekesalan dengan mendakwa bahawa dirinya tidak sabar untuk membersihkan namanya di mahkamah.
Projek IC
Projek IC, kadangkala dipanggil "Projek M" untuk "Mahathir". Ia adalah skim kerakyatan-untuk-undi yang didakwa dipelopori oleh Mahathir pada 1990-an yang mengubah demografi Sabah supaya memihak kepada Umno dan sekutunya.

RCI telah ditubuhkan pada 2012 untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Laporan suruhanjaya yang dikeluarkan pada 2014 menyimpulkan bahawa projek itu "mungkin" wujud, tetapi menyalahkan bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang secara rasuah mengaut juataan ringgit.
Ia membebaskan parti politik dan kerajaan daripada sebarang pembabitan.
Namun begitu, isu kewarganegaraan dan imigresen kekal menjadi topik hangat pilihan raya untuk tahun-tahun seterusnya.
Kerugian forex
Pada tahun 1980-an dan 1990-an, Bank Negara Malaysia telah mengalami kerugian besar melalui aktiviti pertukaran asing (forex).
Beberapa dekad kemudian pada 2017, kerajaan di bawah perdana menteri ketika itu Najib Razak mengumumkan RCI untuk menyiasat perkara itu.

Ini selepas pasukan petugas mendapati kerugian adalah lebih besar daripada yang disangkakan sebelum ini dan mempunyai tanda-tanda ia cuba disembunyikan. Di sebalik justifikasi ini, pihak lawan menganggap RCI itu hanya percubaan Najib untuk mengalihkan perhatian daripada skandal 1MDB yang dihadapinya.
