Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengampunan Najib: Mana janji Anwar untuk perangi rasuah - Mukhriz
Diterbitkan:  Feb 1, 2024 3:52 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini tampil mempersoalkan janji-janji Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memerangi rasuah.

Merujuk laporan media Singapura mengenai keputusan Lembaga Pengampunan yang meringankan hukuman penjara Najib Razak, Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir berkata ia menghampakan jutaan rakyat.

Sambil menyelar sikap didakwanya sebagai hiprokasi Anwar, Mukhriz berkata, tindakan membabitkan bekas perdana menteri itu semua didorong oleh kepentingan politik semata-mata.

"Ke mana perginya janji Anwar untuk memerangi rasuah? Adakah dengan melancarkan siasatan baru keatas pemimpin-pemimpin politik lama yang dianggap musuhnya, sambil melepaskan pemimpin yang sudah dijatuh hukuman oleh mahkamah?

"Tidakkah ini hipokrasi namanya? Tidakkah ini akan menunjukkan bahawa tindakan Anwar itu semua didorong kepentingan politik semata-mata apabila diambil kira bahawa sebahagian daripada kerajaan Madani terdiri daripada ahli-ahli Parlimen BN?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini, belum ada sebarang pengesahan atau pengumuman rasmi mengenai laporan bahawa sama ada Najib telah diberikan pengampunan ataupun hukumannya dikurangkan.

Malaysiakini juga tidak dapat mengesahkan kesahihan berita itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa sekadar memaklumkan kenyataan rasmi berhubung isu pengampunan Najib dijangka dikeluarkan minggu ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan pula menggesa pihak media menunggu pengumuman rasmi berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata ketika ini rakyat ingin tahu apa pendirian kerajaan dalam isu pengampunan Najib.

"Negara masih dibebankan hutang yang mencecah RM1.5 trillion dengan sebahagiannya ialah dana yang dibawa lari melalui 1MDB yang diwujudkan oleh Najib.

"Malah, kes perbicaraan Najib melibatkan 1MDB masih berjalan secara berasingan daripada kes SRC yang kesudahannya mendapati Najib bersalah itu.

"Selama perbicaraan berjalan, tiada langsung kedengaran pengakuan daripada Najib bahawa beliau bersalah dan menginsafi akan kesalahan yang telah dilakukannya, jauh sekali memohon maaf kepada seluruh Rakyat Malaysia.

"Oleh itu, bagaimana boleh terfikir oleh Lembaga Pengampunan (atas syor kerajaan) untuk meringankan hukuman ke atas Najib?

"Rakyat terpaksa menanggung beban daripada jenayah Najib menyeleweng dana awam," katanya.

Dia juga membangkitkan khabar angin bahawa hukuman penjara ke atas Najib itu akan diringankan lagi kepada tahanan di rumah.

"Kalau benar, maka dunia akan ketawakan sistem perundangan negara.

"Maka, wakil kerajaan dalam Lembaga Pengampunan mahupun kerajaan sendiri tidak boleh berdiam diri meletakkan semuanya beban penjelasan kepada Yang di-Pertuan Agong mahupun Lembaga Pengampunan," katanya.

Kabinet sebelum ini dilihat cuba menegaskan pemisahan antara kuasa eksekutif dan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Lembaga bermesyuarat pada Isnin lalu dan ia dipercayai antaranya bagi memutuskan permohonan pengampunan buat Najib.

Ia dikatakan mesyuarat terakhir membabitkan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong sebelum baginda menamatkan penggal perkhidmatannya.

Lihat Komen
ADS