Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sistem keadilan kita sudah nazak, kata bekas pengarah SPRM
Diterbitkan:  Feb 2, 2024 8:00 PM
Dikemaskini: 12:24 PM

Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Bahri Mohammad Zin menyifatkan keputusan lembaga pengampunan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak menunjukkan sistem keadilan di negara ini ‘sudah nazak’.

Katanya, keputusan lembaga pengampunan mengurangkan separuh hukuman terhadap Najib menunjukkan perbezaan layanan antara golongan kaya dan yang memiliki kuasa dengan rakyat kebanyakan.

"Kita dah menganut sistem keadilan jahiliah di mana si miskin wajib dihukum mengikut undang-undang manakala si kaya dan yang ada kedudukan akan ada sistem lain yang lebih selesa dan tak perlu ikut hukum 100 peratus.

"Sukar untuk kita ramalkan apa persepsi seluruh rakyat Malaysia ke atas sistem keadilan kita sekarang.

"Ia dilihat berada dalam keadaan nazak bila ada kes yang sedang dibicara dan dalam status dipanggil membela diri pun telah di-DNAA (Dibebas tanpa dilepaskan).

"Kini ditambah lagi dengan kes terbesar di abad ini yang juga belum selesai menjalani hukuman serta menunggu lagi empat kes perbicaraan jenayah boleh diputuskan sedemikian rupa," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersetuju memberi pengurangan hukuman penjara ke atas Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun berkait kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Dengan pengurangan separuh hukuman tersebut, bekas perdana menteri itu dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Najib juga hanya perlu membayar denda sebanyak RM50 juta, berbanding jumlah asal yang diputuskan mahkamah iaitu RM210 juta.

Untuk rekod Bahri ialah individu yang memainkan peranan penting dalam siasatan terhadap kes SRC International membabitkan Najib.

Pada 2015, siasatan SPRM terhadap kes SRC diganggu apabila polis menyerbu pejabat mereka dan menangkap beberapa pegawai dalam pasukan Bahri, manakala timbalan pendakwa raya SPRM pula ditahan reman.

Bahri dan seorang lagi pegawai kanan SPRM, Rohaizad Yaakob, kemudian dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Bahri kemudian bersara awal pada 2017 ekoran kekecewaan berhubung kes itu namun kembali bertugas pada Mei 2018 selepas PH mengambil alih pentadbiran persekutuan.

Pada 2022, Bahri mendedahkan bahawa pasukannya berada dalam tekanan ketika menyiasat kes itu dengan fitnah, ugutan dan tawaran habuan agar menghentikan siasatan.

"Apakah Najib akan diampunkan lagi?

Kata Bahri dia amat terkejut dengan keputusan lembaga pengampunan memandangkan Najib sedang menghadapi empat lagi pertuduhan jenayah di mahkamah.

"Adakah selepas ini tertuduh akan diampunkan lagi andainya dia didapati bersalah?

"Apakah akan jadi kepada pesalah-pesalah lain yang menyakau duit kerajaan dan duit orang ramai yang jauh lebih rendah nilainya daripada yang dilakukan oleh tertuduh, apakah mereka tidak punyai hak yang sama seperti tertuduh?" soalnya.

Pada 2022 Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC).

Selain kes SRC, Najib juga menghadapi pendakwaan di mahkamah membabitkan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB dan kes salah guna kuasa untuk meminda laporan audit 1MDB.

Dia juga berdepan dua pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC sebanyak RM27 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS