Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib boleh rayu pada Agong baru jika tak puas hati - Anwar
Diterbitkan:  Feb 2, 2024 9:23 PM
Dikemaskini: 1:23 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak boleh merayu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar jika dia tidak berpuas hati dengan pengurangan hukuman yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata proses pengampunan adalah di luar hak prerogatif perdana menteri dan kerajaan.

"Saya menghormati keputusan Agong sebelum ini. Sekarang kita ada Agong yang baru. Apa pun yang dirasakan seseorang itu - sudah tentu ia bersifat politik - ada yang menyokong, ada yang tidak.

“Tetapi mereka tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa anda mesti menghormati hak setiap orang yang disabitkan kesalahan untuk merayu kepada Lembaga Pengampunan.

"Sekarang Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan. Jika seseorang berpuas hati (dengan keputusan tersebut), itu adil, jika tidak memuaskan (tuntutan mereka) dia masih mempunyai ruang untuk merayu pada tahap berikutnya," katanya dalam satu wawancara dengan Al Jazeera malam ini.

Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, yang bermakna bekas perdana menteri itu akan dibebaskan seawal 23 Ogos 2028.

Lembaga pengampunan juga mengurangkan denda yang dikenakan terhadap Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bagaimanapun, kegagalan membayar denda itu boleh menyebabkan Najib dipenjarakan setahun lagi, di mana dia hanya akan dibebaskan pada 23 Ogos 2029.

Keputusan Lembaga Pengampunan itu adalah tindakan terakhir Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang tamat tempoh perkhidmatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Selasa lalu.

Bercakap mengenai keputusan Lembaga Pengampunan, Anwar berkata semua pertimbangan telah diambil kira sebelum Sultan Abdullah membuat keputusan tersebut.

“Saya pernah duduk dalam Lembaga Pengampunan sebagai menteri yang menjaga Kuala Lumpur, dan kini dipegang oleh orang lain.

"Tetapi sudah tentu Agong sebagai raja berperlembagaan, berunding dengan Peguam Negara, Perdana Menteri dan ramai lagi. Baginda sudah tentu benteng untuk menegakkan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Dan semua pertimbangan itu diambil kira dan kemudian Yang di-Pertuan Agong, selepas mendengar daripada lembaga, akhirnya memutuskan untuk mengurangkan hukuman sebanyak 50 peratus yang bermakna (pembebasan) pada 2028,” katanya.

Ahli lembaga pengampunan

Semua negeri di Malaysia mempunyai Lembaga Pengampunan mereka sendiri yang diketuai oleh sultan atau Yang Dipertua Negeri bagi negeri seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Mengikut Perkara 42(5) dan 42(11) Perlembagaan Persekutuan, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan terdiri daripada peguam negara, menteri wilayah persekutuan dan tidak lebih daripada tiga ahli lain yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.

Berdasarkan pelantikan yang diumumkan melalui warta persekutuan, terdapat empat nama yang pelantikannya sah ketika pengampunan Najib dipertimbangkan.

Ini bermakna sekurang-kurangnya seorang daripada mereka tidak lagi menjadi ahli kerana peletakan jawatan dan faktor lain yang boleh membatalkan pelantikan, yang tidak diumumkan melalui warta.

Pelantikan diraja ini membabitkan Prasad Sandosham Abraham, Paramasivam Arunasalam, Darussalam Budin dan Zaharah Ibrahim.

Menurut bekas peguam negara Tommy Thomas, antara kriteria pengampunan termasuk apabila seseorang banduan telah menjalani satu pertiga daripada hukuman penjara mereka sebelum membuat permohonan tersebut dan banduan itu tidak boleh mempunyai kes jenayah lain yang belum selesai.

Najib kini dibicarakan atas pertuduhan jenayah lain, termasuk empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS