Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahanan lolos: Kulasegaran gesa siasatan bebas
Diterbitkan:  Feb 3, 2024 1:52 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran menggesa siasatan bebas dijalankan mengenai insiden lebih 100 tahanan imigresen melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Bidor, pada Khamis.

"Saya amat risau dengan insiden yang berlaku di Depot Imigresen Bidor, di mana 131 pendatang tanpa izin dari Myanmar melarikan diri selepas memulakan rusuhan.

"Saya menekankan kepentingan akauntabiliti bagi mereka yang bertanggungjawab atas pelanggaran keselamatan ini, dan saya menyeru supaya siasatan menyeluruh dilakukan untuk memahami keadaan sekitar kejadian itu.

"Adalah penting bahawa siasatan yang komprehensif dan telus dijalankan untuk menentukan punca keadaan. Kita perlu memastikan sama ada kejadian ini adalah kejadian terpencil atau pernah berlaku kejadian serupa pada masa lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pasukan jawatankuasa siasatan bebas perlu terdiri daripada orang terkemuka.

"Sebagai alternatif, jawatankuasa pilihan khas parlimen (JPKP) juga boleh melaksanakan tugas ini. Pemeriksaan yang tidak berat sebelah oleh badan bebas adalah penting untuk menanam keyakinan orang ramai dan memastikan integriti proses penyiasatan.

"Semua laporan yang menggariskan hasil siasatan ke atas perkara ini mesti didedahkan kepada umum untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti," katanya.

Katanya, siasatan bebas itu penting untuk kerajaan melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk mengelakkan kejadian sedemikian daripada berulang pada masa hadapan.

Terdahulu, pada 1 Feb, sebanyak 131 pendatang tanpa izin telah melarikan diri dari blok lelaki depot tersebut.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata daripada jumlah itu, 115 orang merupakan etnik Rohingya, manakala 16 lagi ialah warga Myanmar.

Katanya, pencarian kesemua tahanan yang lolos dan siasatan masih diteruskan dengan bantuan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Bukit Aman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat memuji tindakan pantas agensi penguatkuasaan yang ditempatkan di depot tersebut ketika insiden rusuhan tersebut.

"Kita harus mengakui tindakan pantas agensi penguatkuasaan, khususnya anggota Imigresen, yang memastikan keselamatan rakan-rakan mereka semasa insiden tersebut. Dedikasi dan komitmen mereka untuk mengekalkan ketenteraman dalam situasi yang mencabar, mesti dipuji.

"Keselamatan dan kemudahan imigresen adalah yang paling penting bagi kerajaan.

"Kerajaan mesti komited untuk mengambil semua tindakan yang perlu untuk menangani sebarang kelemahan yang didedahkan melalui penyiasatan sementara pihak berkuasa belajar daripada kejadian ini dan melaksanakan langkah untuk mengukuhkan keselamatan dan pengurusan kemudahan imigresen di seluruh negara," katanya.

Lihat Komen
ADS