Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal tempelak k'jaan Kedah lewat naik taraf LRA Bukit Selambau
Diterbitkan:  Feb 7, 2024 8:00 AM
Dikemaskini: 12:42 AM

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasir menempelak kerajaan negeri Kedah berhubung kelewatan menaik taraf loji rawatan air Bukit Selambau.

Menerusi video yang disiarkan di media sosial, Akmal menegaskan geran RM129 juta yang disediakan kerajaan persekutuan untuk projek itu bukan pinjaman.

"Ini bukan pinjaman, ini geran daripada federal kita bagi. Akhirnya bila berlaku macam ni kami juga yang terpaksa masuk campur.

"Kalau tengok nama pemilik projek itu kerajaan negeri. Dan sekarang saya memang nak bekerjasama. Menteri (Fadhillah Yusof) sebut ini tahun pelaksanaan,” katanya.

Pada 2021 dilaporkan bahawa anak syarikat milik penuh Widad Group Bhd Widad Builders Sdn Bhd memperoleh kontrak RM129.4 juta daripada kerajaan negeri Kedah untuk melaksanakan naik taraf itu.

Tempoh kontrak telah ditetapkan bermula dari 6 Jun 2021 hingga 2 Dis 2023.

Bagaimanapun pada 2022, menteri besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menyalahkan perubahan dasar oleh kerajaan negeri sebelum ini kerana kelewatan menaik taraf lima loji rawatan air di negeri itu, termasuk di Bukit Selambau.

Fadhillah dipetik minggu lepas berkata kementerian itu sedang memperhalusi kaedah baru untuk melaksanakan kerja naik taraf bagi memastikan ia dapat disiapkan segera, sambil menambah ia dikategorikan sebagai projek "sakit" akibat kelewatan.

Menteri itu juga menyebut sama ada kontraktor perlu ditamatkan atau ada kaedah baharu yang menjamin projek itu dapat diselesaikan.

Akmal hari ini menyebut mengenai masalah bekalan air yang dihadapi rakyat Kedah sebagai sebab untuk mempercepatkan projek naik taraf itu.

Katanya, di beberapa kawasan di Kedah, air diangkut kepada penduduk melalui lori.

“Sekarang bukan saya nak salahkan orang, saya nak resolve (masalah) ini. Kalau tanya saya, saya tak yakin (projek ini dapat disiapkan).

"Bila dah mula kemarau ni saya rasa lagi orang marah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS