Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Saya ada musuh yang galakkan kes fitnah Sultanah Terengganu’

Pengasas dan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown menolak keputusan Mahkamah Majistret yang menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atasnya kerana memfitnah Sultanah Terengganu Nur Zahirah dalam sebuah buku, dengan mengatakan bahawa Malaysia akan menjadi perhatian dunia sekiranya dia ditangkap.

Katanya, dia langsung tidak mengetahui tentang kes itu dan peguamnya telah menasihatkannya bahawa tindakan majistret yang gagal memaklumkan dirinya atau peguamnya adalah melanggar kod prosedur jenayah.

Dia juga mendakwa bahawa tindakan mahkamah ke atasnya seolah-olah bermotifkan politik.

"Saya mempunyai musuh di Malaysia yang telah menggalakkan kes ini dan kami juga terlibat dalam kes Hadi," katanya merujuk kepada saman yang melibatkan presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang menyaman Rewcastle-Brown di London berhubung artikel Sarawak Report 2016 yang mendakwa bahawa ketika itu perdana menteri Najib Razak menyalurkan RM90 juta kepada pemimpin tertinggi PAS itu dalam usaha mendapatkan sokongan menjelang pilihan raya umum ke-14.

Pada 1 Feb 2019, Rewcastle-Brown mendakwa presiden PAS itu bersetuju untuk menyelesaikan kes saman tersebut dengan Sarawak Report dengan bayaran RM1.4 juta.

“Saya rasa orang ramai mendapat tanggapan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang selamat dalam soal kedaulatan undang-undang,” tambahnya.

Rewcastle-Brown yang dilahirkan di Sarawak, pulang ke  Malaysia sejurus selepas Najib kalah pada pilihan raya umum 9 Mei 2018, berkata bahawa dia kini tidak pasti sama ada akan kembali ke Malaysia selagi berdepan ancaman ditangkap dan dipenjarakan.

“Mungkin Malaysia ingin perhatian dunia dengan menangkap wartawan yang mendedahkan 1MDB atas tuduhan palsu yang menjijikkan apabila pada minggu yang sama mereka menggugurkan hukuman ke atas kleptokrat paling teruk di dunia?” katanya, merujuk kepada keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 kepada enam tahun.

Rewcastle-Brown menambah bahawa peguam Sarawak Report juga akan mendapatkan penjelasan sama ada sekali lagi pihak berkuasa di Malaysia akan cuba meminta Interpol menangkapnya berdasarkan "tuduhan yang lemah dan bermotifkan politik."

Semalam, Mahkamah Majistret Terengganu menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas pengasas dan editor Sarawak Report itu selepas dia didapati bersalah memfitnah Sultanah Terengganu Nur Zahirah.

Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri membuat keputusan itu tanpa kehadiran tertuduh.

Dia didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah Sultanah Nur Zahirah menerusi bukunya ‘The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Seksyen 500 memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, fitnah berkenaan terkandung pada baris ketujuh, perenggan empat di muka surat ketiga buku itu.

“Di mana di dalamnya pada muka surat 3, perenggan 4, baris 7 mengandungi tohmahan seperti mana yang digariskan iaitu “the wife of the sultan,” terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah yang merupakan satu fitnah di mana kamu mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa tohmahan tersebut akan merosakkan nama baik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah,”

[Baca berita penuh]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS