Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan batalkan 16 peruntukan enakmen syariah Kelantan

Pasangan peguam bersama anaknya dari Kelantan hari ini berjaya dalam permohonan mereka mendapatkan pembatalan daripada mahkamah tertinggi negara terhadap 16 peruntukan enakmen kesalahan jenayah negeri terbabit.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen Nik Elin Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Keluarga itu mencabar perlembagaan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Bagaimanapun, mahkamah tertinggi hanya membenarkan 16 daripada 18 peruntukan yang dimohon mereka.

Antara peruntukan yang dianggap tidak sah ialah mengenai pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), liwat (Seksyen 14), persetubuhan dengan mayat (Seksyen 16), persetubuhan dengan bukan manusia (Seksyen 17), dan gangguan seksual (Seksyen 31).

Kesalahan jenayah syariah lain yang menjadi pertikaian dalam permohonan itu ialah memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat palsu (Seksyen 34), mabuk (Seksyen 36), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45), dan penyalahgunaan label halal (Seksyen 42).

Di sebalik menerima 16 permohonan pasangan anak-beranak itu mahkamah bagaimanapun menolak cubaan mereka membatalkan dua lagi peruntukan dalam enakmen sama.

Ia membabitkan penyerahan anak kepada orang bukan Islam atau Muslim yang rosak akhlaknya (Seksyen 13), dan perkataan yang boleh memecahkan keamanan (Seksyen 30).

Menurut Tengku Maimun bahawa badan perundangan Kelantan bertindak melebihi kuasa yang ada dengan menggubal enakmen yang bercanggah dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Anggap tiada locus standi

Tengku Maimun sekali lagi mengingatkan apa yang dicabar oleh Nik Elin dan Tengku Yasmin itu bukanlah mengenai kedudukan Islam dan sistem kehakiman syariah di Malaysia.

Sebaliknya jelas Tengku Maimun, yang dipertikaikan ialah keabsahan perlembagaan terhadap 18 peruntukan enakmen Kelantan yang didakwa pempetisyen sebagai melanggar had kuasa negeri terbabit.

"Kuasa parlimen dan dewan undangan negeri dihadkan oleh Perlembagaan Persekutuan, dan mereka tidak boleh membuat sebarang undang-undang yang mereka suka," kata Tengku Maimun yang membacakan keputusan bagi pihak majoriti.

Selain Tengku Maimun, tujuh hakim yang menerima permohonan tersebut ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Amar Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Mohamad Zabidin Mohd Diah; dan empat hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal , Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli menjadi satu-satunya hakim yang memberikan keputusan sebaliknya.

Antara lain dia berpendapat Nik Elin dan anaknya itu tidak memiliki locus standi untuk mencabar keabsahan enekmen berkenaan.

Abdul Rahman juga menegaskan bahawa Nik Elin dan Yasmin Natasha tidak menunjukkan bagaimana peruntukan jenayah syariah Kelantan telah melanggar hak perlembagaan mereka.

“Bantahan mereka adalah semata-mata mengenai perundangan dan perlembagaan peruntukan negeri, persoalan perlembagaan mereka tidak lain dan tidak bukan adalah berkaitan kewujudan peruntukan itu.

"Petisyen itu ditakdirkan gagal dalam apa jua keadaan. Tiada satu pun alasan (disenaraikan dalam cabaran mereka) yang menimbulkan (menunjukkan) sebarang kontroversi sebenar antara mereka dan kerajaan Kelantan atau bagaimana mereka terjejas teruk oleh peruntukan itu," katanya.

Dia menegaskan faktor ketakutan sahaja tidak mencukupi untuk mengemukakan cabaran tersebut di mahkamah, justeru mereka mesti menunjukkan bagaimana hak asasi pempetisyen terjejas secara negatif oleh enakmen Kelantan.

"Kita semua takut terhadap sesuatu dalam hidup kita, tetapi apabila ia melibatkan cabaran terhadap badan perundangan negeri, perlu ada pelanggaran hak persendirian," katanya.

Abdul Rahman juga berkata adalah penting bagi badan kehakiman memastikan hanya pempetisyen dengan locus standi dibenarkan meneruskan cabaran mereka.

Jika tidak, katanya, ia hanya akan menyebabkan pihak tertentu termasuk 'kaki sibuk' menyalahgunakan proses undang-undang.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS