Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Nik Elin: Kerajaan Kelantan akan menghadap Sultan Muhammad V

Kerajaan Kelantan akan menghadap Sultan Muhammad V segera untuk menyembah maklum keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai pembatalan 16 peruntukan enakmen jenayah syariah negeri terbabit.

Bercakap kepada media di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan, berkata kerajaan Kelantan dan rakyat itu "kecewa" dengan keputusan hakim.

"Kami akan segera berjumpa dengan Sultan Kelantan untuk memaklumkan keputusan itu," katanya.

Mohamed Fadzli juga menyatakan kerajaan Kelantan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji keputusan mahkamah tertinggi negara hari ini.

Katanya ketika ini mereka sedang berusaha mendapatkan alasan penghakiman bertulis Mahkamah Persekutuan untuk diteliti sebelum langkah selanjutnya diambil.

“Ia tidak akan berakhir di sini. Kami akan tentukan tindakan seterusnya.

“Ini bukan sahaja melibatkan kerajaan Kelantan, tetapi ia melibatkan semua negeri (lain),” katanya.

Pagi tadi Mahkamah Persekutuan membuat keputusan terhadap permohonan dua individu dari Kelantan yang mencabar keabsahan 18 peruntukan enakmen jenayah syariah negeri terbabit.

Daripada 18 peruntukan yang dipertikaikan, hakim menerima 16 daripadanya dengan keputusan 8-1.

Panel sembilan hakim itu itu dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Menurut Mohamed Fadzli dia juga dimaklumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar sedang meneliti perkara itu.

Dia turut menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

"Kerajaan Kelantan berrasakan bahawa kalau peruntukan dalam perlembagaan menghalang dewan undangan negeri untuk menggubal sebarang enakmen, kerajaan persekutuan juga ada tugas yang perlu dibuat.

"Tolong pastikan apa yang dipinda, dipinda. Ini melibatkan bidang kuasa mahkamah syariah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS