Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jaga mulut kamu Fahmi, jangan celupar!'
Diterbitkan:  Feb 11, 2024 2:42 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris menyelar Fahmi Fadzil selepas menteri komunikasi itu mendakwa Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin menyebarkan berita palsu mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan Razali menyifatkan dakwaan Fahmi itu sebagai celupar terhadap seorang pemimpin yang dihormati seperti Muhyiddin.

"Jaga mulut kamu Fahmi, jangan celupar!

"Tan Sri Muhyiddin ialah mantan perdana menteri, mantan timbalan perdana menteri dan mantan menteri besar serta beberapa portfolio menteri kabinet. Justeru, seorang yang sangat dihormati, berprinsip, integriti, benar dan berani.

"Kamu siapa Fahmi? Sekadar berani atas kuasa menteri setahun jagung," katanya.

Semalam Fahmi berkata Muhyiddin menyebar berita palsu berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Kenyataan itu dibuat selepas Muhyiddin mendakwa susulan keputusan itu, perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam tidak lagi menjadi kesalahan di Kelantan.

"Muhyiddin sebar berita palsu," kata Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menerusi laman X.

Idris bagaimanapun tidak menjawab secara langsung dakwaan Fahmi bahawa Muhyiddin menyebarkan berita palsu mengenai keputusan mahkamah berkenaan.

Sebaliknya Razali berkata Fahmi sepatutnya disiasat berhubung keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak yang telah bocor dan disiarkan lebih awal oleh media Singapura.

"Saya secara tegas syorkan satu inkuiri atau tribunal ditubuhkan dan memanggil menteri komunikasi untuk menjawab kebocoran rahsia negara.

"Jelas ini satu elemen kesalahan berkait rahsia besar negara. Menteri komunikasi harus bertanggungjawab dan melepaskan jawatan serta-merta," katanya.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS