Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hormati keputusan mahkamah, bertenang - Sultan
Diterbitkan:  Feb 15, 2024 2:00 PM
Dikemaskini: Feb 18, 2024 12:59 PM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menggesa semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Titah itu dikeluarkan kira-kira seminggu selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 daripada 18 peruntukan jenayah syariah Kelantan terbatal kerana melampaui kuasa negeri.

“Dalam menangani isu yang berbangkit ini apa yang lebih penting ialah usaha kita dalam mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.

Terdahulu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan baginda bersidang di Putrajaya hari ini.

Ia turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan menteri agama Mohd Na'im Mokhtar.

Sementara itu, baginda juga bertitah kajian juga perlu dibuat sekiranya ada keperluan meminda perlembagaan atau undang-undang, bagi memastikan kuasa badan perundangan negeri termaktub secara jelas.

Baginda juga menegur tafsiran pelbagai pihak, termasuk yang menimbulkan polemik sehingga mengelirukan umat Islam.

“Malah ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik Black Friday (Jumaat hitam) kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini. 

“Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut,” titah baginda tanpa menyebut mana-mana pihak.

Sejurus selepas keputusan kes yang difailkan Nik Elin Nik Abdul Rashid Jumaat lalu, PAS menggelar hari itu sebagai Jumaat Hitam atas alasan ia akan turut "mengancam" enakmen negeri lain.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin juga bertitah baginda telah disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam sedang meneliti persoalan itu.

"Antaranya, melaksanakan kajian terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi termasuklah analisis terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada secara menyeluruh, mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu-isu tersebut secara terperinci.

"...Dan mencadangkan dan membuat pengesyoran tentang kaedah penyelarasan yang terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan; dan mengkaji kaedah memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah," titah baginda.

Antara hujah Mahkamah Persekutuan dalam membatalkan peruntukan enakmen tersebut adalah DUN Kelantan telah melangkaui bidang kuasanya seperti yang termaktub dalam Senarai Negeri (Senarai II), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

‘Cukup-cukuplah kita bersengketa’

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin bertitah menasihatkan agar umat Islam, terutama para ulama dan ilmuan, agar sentiasa memelihara adab ketika menyuarakan pandangan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Baginda bertitah perbezaan pendapat perlu diraikan dan perbalahan terbuka dalam perkara yang boleh diselesaikan secara "musyawarah dan secara tertutup" perlu dielakkan.

"Rakyat terutama umat Islam sentiasa melihat dan memandang tinggi kepada para ilmuan islam dan para alim ulama dan sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan sesuatu hukum itu dapat disepakati oleh semua," titah baginda.

Menegaskan teguran itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak, Sultan Sharafuddin mengingatkan ahli politik agar tidak mempolitikkan setiap isu melibatkan Islam sehingga mencetuskan persengketaan.

"Umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu malah semakin serius sejak kebelakangan ini. Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam.

"Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam. Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam," titah baginda lagi.

Lihat Komen
ADS