Dikemaskini dengan subjek tesis Ismail Sabri, iaitu berkenaan Covid-19.
Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan bahawa dia sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Bekas pegawai kanannya, Kamarul Zaman Yusoff yang juga pensyarah kanan akan menjadi penasihat tesisnya.
Dalam satu dalam hantaran di media sosial, bekas naib presiden Umno itu memaklumkan, dia telah pun menerima kad pelajarnya.
“Alhamdulillah hari ini dapat kad pelajar. Rasmi, hari ini saya jadi pelajar. Tak sangka tua-tua masih jadi pelajar.
“Inilah yang dikatakan belajar sepanjang hayat,” katanya.
Ismail Sabri sebelum ini pernah menuntut di Universiti Malaya dalam jurusan undang-undang
Dia dilantik sebagai perdana menteri Malaysia yang kesembilan selepas Muhyiddin Yasin meletak jawatan.
Namun, tempoh pentadbirannya tidak lama selepas gabungan Perikatan Nasional yang mendukung pentadbirannya gagal mendapatkan sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya umum, tahun lalu.
Ismail merupakan graduan undang-undang dari Universiti Malaya pada tahun 1980-an.
Kali ini, tesisnya berkenaan tindakan yang diambil negara dalam menangani wabak Covid-19 dan dia berkata telah membentangkan cadangan penyelidikan untuk ijazah doktor falsafahnya (PHD).
"Tesis saya mengenai tindakan Malaysia dalam memerangi Covid-19.
"Malaysia diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai antara negara yang terbaik dalam memerangi Covid-19," katanya.
Ismail berkata tiada satu pun negara yang boleh dijadikan contoh dalam pengurusan wabak itu kerana ia kali pertama melanda dunia.
"Saya berharap dunia dapat melihat bagaimana pengalaman dan tindakan Malaysia memerangi Covid-19," katanya lagi.
