Peguam kepada Ratu Naga hari ini mempertikaikan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang mendakwa aktivis pro-PN itu bukannya ditahan agensi antirasuah terbabit.
Menurut Nabila Khairuddin, kenyataan Azam bahawa Ratu Naga - atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah - atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga hanya dipanggil untuk memberi keterangan adalah tidak benar.
"Rumahnya diserbu pagi tadi dan dia dijemput dan dibawa menaiki kereta SPRM ke Putrajaya," katanya kepada Malaysiakini.
Nabila turut mendakwa Ratu Naga tidak dibenarkan berjumpa dengan peguam atau suaminya.
“Ini adalah penahanan yang jelas. Adalah tak masuk akal untuk ketua SPRM mengatakan ia bukan penangkapan dan sama sekali bertentangan dengan fakta.
"Saya masih menunggu di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk berjumpa dengan Ratu Naga, setakat ini mereka menolak akses saya kepada anak guam saya," tambahnya.
Terdahulu, Azam memberitahu Malaysiakini bahawa Ratu Naga dipanggil untuk disoal siasat agensi penguat kuasa terbabit, namun dia menafikan wanita terbabit ditahan.
"Kami hanya memanggil dia untuk merekodkan keterangannya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM," katanya yang enggan mengulas lanjut.
Sementara itu suami Ratu Naga, Ezad Zainal, memberitahu Malaysiakini sepasukan lima pegawai SPRM tiba di rumah mereka di Jalan Klang Lama kira-kira jam 9.30 pagi tadi sebelum mula menggeledah premis itu selama kira-kira 20 minit.
Sumber pula memberitahu Malaysiakini aktivis terbabit diambil untuk memudahkan siasatan terhadap dakwaan rasuah yang dibuat oleh ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, terhadap Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Badrul Hisham sebelum ini menuduh Shamsul Iskandar menyalahgunakan dana NGO. Shamsul Iskandar sudah menafikan dakwataan tersebut.
