Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenyataan Hadi pasal hakim 'berniat jahat' - peguam

Beberapa peguam membidas Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana melabel hakim sebagai "bijaksini" (berbanding bijaksana) dan "akalnya dipengaruhi oleh tulisan warisan penjajah."

Peguam New Sin Yew (gambar bawah) berkata memanggil seseorang hakim sebagai tidak bijak kerana menjalankan tugas perlembagaan mereka adalah berniat jahat.

“Para hakim mengangkat sumpah untuk menegakkan dan mempertahankan Perlembagaan. Dan itulah yang mereka lakukan,” kata New kepada Malaysiakini.

Ini selepas Hadi pada Rabu (14 Feb) mengatakan negara-negara Islam kehilangan integriti mereka apabila mengekalkan undang-undang penjajah walaupun negara itu sudah mencapai kemerdekaan.

Dia berkata walaupun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam merupakan agama rasmi negara namun agama lain boleh diamalkan dengan bebas.

Bagaimanapun, Abdul Hadi mendakwa bahawa banyak pindaan perundangan telah dibuat sejak itu dengan mengabaikan kepentingan Islam.

"Dahulunya, ada daripada kalangan para hakim yang bijaksana seperti Almarhum Tun Salleh Abas, Almarhum Tan Sri Harun Hashim dan lain-lain.

"Ada yang masih hidup seperti Tun Abdul Hamid, Tun Ahmad Fairuz dan lain-lain yang menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menjaga dan mempertahankan syariat buat sementara waktu mengikut mafhum yang ada dalam keimanan di hati mereka kepada Islam. Mereka tidak melayan tindakan-tindakan yang mahu menyingkirkan syariat Islam.

"Namun demikian, kini muncul kalangan hakim yang ‘bijaksini’ (bukan bijaksana) yang kepala dan akalnya dipengaruhi oleh tulisan warisan penjajah," kata Abdul Hadi dalam catatan Minda Presiden PAS terbit di Harakahdaily pada 14 Feb lalu.

Bagaimanapun kenyataan Abdul Hadi tanpa merujuk kepada mana-mana kes atau memberi konteks terhadap komentar tersebut.

Namun, dipercayai ahli parlimen Marang itu merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan apabila panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman untuk membatalkan 18 peruntukan enakmen jenayah syariah Kelantan.

Kewajipan hakim tafsir undang-undang

Mahkamah memutuskan bahawa badan perundangan Kelantan melebihi bidang kuasanya yang terkandung dalam Senarai Negeri (Senarai II) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, mahkamah tertinggi hanya membenarkan 16 daripada 18 itu tidak sah.

Sementara itu, peguam dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim (gambar bawah) memberitahu Malaysiakini, bahawa tidak wajar Abdul Hadi menyalahkan dan mengutuk hakim.

Dia berkata para hakim menyampaikan keputusan mereka berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi di negara ini.

“Adalah menjadi kewajipan hakim untuk mentafsir undang-undang yang digubal oleh parlimen.

“Oleh itu, kita mesti meminda undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah tugas kerajaan sekarang dan semua ahli parlimen,” katanya.

Berkongsi sentimen yang sama ialah peguam Azira Aziz (gambar bawah), yang mengingatkan Abdul Hadi bahawa dia seorang ahli politik dan ahli parlimen yang mengambil bahagian dalam sistem itu - yang meminda Perlembagaan Persekutuan.

"Jika beliau berpendapat bahawa menjadi ahli parlimen bertentangan dengan nilai dan prinsip beliau sebagai seorang Muslim, beliau harus membayar balik keseluruhan gajinya, meletak jawatan dan menolak semua bentuk pencen kerajaan," katanya kepada Malaysiakini.

PAS terlepas peluang menangi hati rakyat

Peguam Zaid Ibrahim (gambar bawah) berkata kenyataan Hadi itu menyebabkan PAS kehilangan peluang keemasan untuk meraih sokongan majoriti rakyat.

Daripada membidas hakim dalam kes Nik Elin, Zaid berkata Hadi sepatutnya berkata dia memahami keputusan hakim dan menggesa umat Islam supaya bersabar.

“Sekiranya kita akan mempunyai parti politik yang memberi inspirasi kepada perubahan positif dalam negara, pemimpinnya mesti berhenti merungut dan bersungut.

“Pemimpin yang berwawasan dan penuh harapan inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat.

“PAS pastinya tidak ada (pemimpin demikian) buat masa ini,” kata bekas menteri undang-undang itu pada hantaran di X.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS