Prasarana Malaysia Berhad akan menuntut pampasan sebanyak RM38 juta daripada pemaju dan pemilik tapak projek yang bertanggungjawab terhadap kerosakan pada struktur stesen LRT Bandaraya.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tuntutan pampasan yang menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan kereta api antara stesen LRT Bandaraya dan stesen LRT Masjid Jamek akan dilakukan melalui prosiding undang-undang.
“Jumlah itu termasuk kos membaiki kerosakan, gangguan operasi serta perkhidmatan bas perantaraan.
“Arahan kementerian ketika itu ialah membaiki (struktur) dahulu sebelum meminta pampasan.
“Kami tidak boleh menunggu proses undang-undang berlaku sebelum pembaikan,” katanya dalam sidang media selepas melakuan lawatan sempena pembukaan semula laluan stesen LRT Bandaraya-Masjid Jamek hari ini.
Pada Januari tahun lalu, kerosakan berlaku pada struktur jejambat dan tiang berhampiran stesen LRT Bandaraya dan Masjid Jamek, menyebabkan penutupan enam stesen di laluan Ampang-Sri Petaling.
Penutupan itu kemudiannya tertumpu di stesen Bandaraya dan Masjid Jamek.
Februari lalu, Loke berkata siasatan ke atas insiden itu menunjukkan pergerakan tanah mencetuskan kerosakan pada struktur.
Pergerakan tanah dipercayai berpunca daripada kerja pembinaan hotel yang dijalankan di tapak berhampiran stesen LRT Bandaraya.
Sementara itu, Loke hari ini menjelaskan projek pembinaan itu terletak di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan bukannya kementeriannya.
Sekiranya pembinaan itu diteruskan, dia menegaskan syarat ketat perlu ditetapkan bagi mengelakkan sebarang isu berulang.
Loke turut menegaskan kepentingan pihak berkuasa tempatan merujuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (LPTA) dan Prasarana sebelum meluluskan pembinaan projek berhampiran pengangkutan awam khususnya stesen kereta api.
[Berita penuh menyusul]
