Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin: Pemimpin NGO dalam senarai FBI tak terlibat keganasan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan tiga pemimpin NGO Islam negara ini yang disenaraikan dalam Terrorist Screening Center atau Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS, tidak terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan.

Menterinya Saifuddin Nasution Ismail berkata semakan KDN mendapati tiga pemimpin tersebut merupakan antara 359 ahli daripada 59 NGO tempatan yang mengerakkan bantuan kemanusiaan di Gaza, Palestin.

"Amerika (AS) dalam proses membuat rang undang-undang berkenaan pencegahan pembiayaaan antarabangsa terhadap Hamas. Itu usaha Amerika. Tapi, di pihak Malaysia, kita sedia maklum ada Ops Ihsan yang merupakan operasi kemanusiaan membantu penduduk Gaza adalah inisiatif kerajaan melibatkan sekumpulan NGO.

"Tentunya, kita akan membuat semakan ke atas individu-individu terlibat supaya tidak ada masalah di peringkat bila mereka (NGO) mengadakan operasi di sana.

"Berdasarkan kepada semakan kita ke semua NGO terlibat adalam Operasi Ihsan, berdasarkan rekod polis kesemua 359 individu tak ada yang terlibat dengan isu-isu keganasan," katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari Malaysia yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam TSC oleh FBI.

Susulan itu, Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari sebelum ini mengesahkan kesahihan surat pemakluman berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat.

Ops Ihsan diilhamkan bekas menteri luar Zambry Abdul Kadir sebagai platform kerjasama antara Kementerian Luar dan NGO bagi menggerakkan sokongan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Saifuddin berkata bahawa Malaysia tidak semestinya mengikut panduan FBI dalam isu mencegah keganasan.

"Hal yang timbul itu adalah dalam rekod FBI.

"Itu saya kena tegaskan dan penegasan ini penting untuk pastikan bahawa kita sebagai sebuah negara sudah merdeka, berdaulat, itu adalah status (individu yang terlibat dalam bantuan kemanusiaan) bagi negara kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS