Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Jangan jadikan kejatuhan ringgit sepak terajang politik

Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta supaya isu kejatuhan nilai ringgit ketika ini tidak dijadikan “sepak terajang politik”.

Jelas Anwar, kerajaan pimpinannya sedang berusaha memastikan nilai ringgit kembali melonjak.

"Sebab itu kita cari jalan untuk perbaiki dan jangan ini dijadikan sebagai sepak terajang politik," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Restu Global Quranic Arts Festival 'Gaya Hidup Islam", di Putrajaya, hari ini.

Semalam perdana menteri menegaskan situasi ekonomi negara hari ini tidak boleh disamakan dengan krisis kewangan pada 1998 kerana kedudukan negara ketika ini jauh lebih baik meskipun nilai ringgit merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Anwar berkata, pada 1998, selain kejatuhan ringgit, kadar inflasi dan pengangguran adalah tinggi, selain tiada pelaburan asing masuk dalam negara.

"(Berbeza) ketika ini, ia perlu dilihat secara keseluruhan, (Malaysia) mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah, kadar inflasi terus menurun dan kadar pengangguran turut berkurangan.

"(Malah) pertumbuhan (ekonomi negara) adalah berdaya tahan sama seperti negara jiran,” katanya.

Mengulas lanjut Anwar berkata, pelabur masih mempunyai keyakinan terhadap ekonomi negara dan disebabkan itu jumlah pelaburan paling tinggi direkodkan dalam sejarah negara.

"Inflasi menurun, kadar pengangguran menurun, pertumbuhan dapat kita pertahankan walaupun dalam keadaan dunia lembab dari segi ekonomi," kata Anwar lagi.

Jelas Anwar, peningkatan mata wang dolar Amerika Syarikat berbanding nilai ringgit tidak seharusnya menjadi ketakutan jika kerajaan menggunakan ringgit dalam perdagangan.

Katanya, perdagangan dengan China misalanya menggunakan mata wang China ataupun ringgit Malaysia, begitu juga dengan Thailand dan Indonesia.

"Kalau kita guna ringgit...isu dolar tak ada kesan...kita bimbang kalau ringgit jatuh kemudian inflasi meningkat, pertumbuhan (ekonomi) terbantut pelaburan tak datang," katanya.

Pada 2017, ketika berada di penjara, Anwar mengecam kerajaan pimpinan Najib Razak ketika itu selepas tukaran ringgit jatuh RM4.4 kepada satu dolar AS.

Anwar mengeluarkan kenyataan melalui peguamnya dengan berkata ringgit yang lemah berkait secara langsung dengan persepsi negatif dalam pengurusan ekonomi negara.

Tambahnya, keadaan ekonomi juga semakin teruk dengan dakwaan rasuah dan pembaziran oleh kerajaan, serta skandal 1MDB.

Lihat Komen
ADS