Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu Spanco: SPRM akan panggil Muhyiddin jika ada keperluan - Azam

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan dipanggil jika terdapat keperluan bagi membantu siasatan berhubung penganugerahan kontrak membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan kepada Spanco Sdn Bhd (Spanco).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata beliau tidak pernah menafi atau menolak dakwaan sama ada Ahli Parlimen Pagoh itu akan dipanggil berhubung kes tersebut.

"Saya hanya buat kenyataan apabila ditanya sama ada beliau (Muhyiddin) akan dipanggil, saya tidak menafikan (dan) tidak menolak, tetapi bergantung kepada pegawai penyiasat SPRM, itu perkara biasa apabila kita buat kenyataan.

"Sebab itu saya katakan dua hari lepas, kalau ada keperluan pegawai penyiasat akan panggil beliau (Muhyiddin) seperti mana beberapa saksi lain yang telah dipanggil termasuk bekas Menteri Kewangan," katanya pada sidang media selepas merasmikan pejabat SPRM cawangan Mersing dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah di Mersing hari ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri itu menerusi hantaran di laman Facebooknya menafikan beliau terlibat dalam sebarang salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada Spanco.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata SPRM akan membuat semakan Notis Merah terhadap menantu Muhyiddin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan Notis Merah kepada Interpol terhadap Muhammad Adlan, 48, dan peguamnya Mansoor Saat, 69, pada Oktober tahun lepas.

"Itu saya belum dapat maklumat lagi, SPRM akan semak lagi dengan pihak Interpol. Buat masa sekarang, tunggu dia (Muhammad Adlan) kembali ke negara ini untuk pertuduhan di mahkamah.

"Usaha masih dijalankan, SPRM juga telah memohon kepada PDRM untuk disenaraikan sebagai orang dikehendaki oleh Interpol. SPRM masih berusaha, bukan dia seorang, tetapi juga peguamnya," katanya.

Pada 22 Feb lepas, Azam dilapor mengesahkan siasatan pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan Muhammad Adlan sudah selesai namun sehingga kini beliau belum dapat dikesan dan masih tidak pulang ke tanah air setelah meninggalkan Malaysia pada Mei tahun lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS