Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pagi ini menzahirkan dua daripada kebimbangan besar baginda terhadap negara ini.

Pertama, isu perpaduan antara kaum yang belum sempurna walaupun negara sudah merdeka lebih 60 tahun; dan kedua, beban hutang kerajaan yang semakin bertambah.

Bertitah ketika merasmikan pembukaan sidang parlimen hari ini, Agong berkata, baginda mengambil maklum memang terdapat segelintir rakyat dari generasi hari ini yang belum mampu bertutur dalam bahasa Melayu serta gagal menghargai kepelbagaian budaya kaum lain.

“Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni,” titah baginda.

"Pepatah Melayu ada menyebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

"Yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa hadapan yang bersatu padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak anak kecil," titah baginda.

Agong juga menyeru semua lapisan masyarakat supaya memperkukuh perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R (kaum, agama dan raja-raja).

Baginda mengingatkan rakyat bahawa Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan manakala agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni.

“Tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cubar memutarbelitkan dan mempolitikkan asas perlembagaan ini,” tegas baginda.

Sokong pelaksanaan subsidi bersasar

Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa kecewa apabila mengetahui kerajaan hari ini menanggung beban hutang yang semakin besar.

“Apakah beban hutang ini yang akan kita tinggalkan untuk ditanggung generasi akan datang?

“Jawapannya ada pada semua ahli parlimen yang hadir di sini hari ini," titah baginda.

Sultan Ibrahim menegaskan kedudukan kewangan yang lemah menyukarkan kerajaan melaksanakan projek pembangunan baru atau menyediakan insentif kewangan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Oleh itu, baginda menyokong inisiatif kerajaan dalam melaksanakan langkah penjimatan drastik termasuk melaksanakan subsidi bersasar.

"Dasar-dasar baru perlu terus diperkenalkan untuk melengkapi dasar-dasar nasional yang lain seiring dengan pendekatan negara yang lebih menyeluruh.

"Antaranya pengenalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang merupakan inisiatif pembaharuan fiskal bagi meningkatkan tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dan pengurusan kewangan awam.

"Saya sendiri akan melihat perbelanjaan kerajaan dengan lebih teliti dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan.

"Saya berharap semasa pemerintahan saya ini, kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun," titah baginda.

Sementara itu Sultan Ibrahim menggesa jentera kerajaan meningkatkan kecekapan serta integriti kerja masing-masing untuk membolehkan pembangunan ekonomi dicapai dengan baik.

"Saya tidak suka dengan sistem yang banyak red tape. Oleh itu kecekapan proses kerja dan tadbir urus mestilah sentiasa dinilai dan ditingkatkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS