Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Jangan ada cuba gugat atau politikkan asas perlembagaan negara’
Diterbitkan:  Feb 26, 2024 2:27 PM
Dikemaskini: 6:27 AM

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menitahkan kerajaan merangka satu dasar untuk mengukuhkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sultan Ibrahim bertitah ini kerana berdasarkan pengamatan Seri Paduka Baginda, hubungan perpaduan antara kaum di negara ini masih belum sempurna, walaupun setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk.

“Masih ada generasi yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.

“Pepatah Melayu ada menyebut meluntur buluh biarlah dari rebungnya, yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa depan yang bersatu padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak dari kecil,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Pada masa yang sama, Yang di-Pertuan Agong turut menyeru semua lapisan masyarakat untuk menjaga keharmonian negara, serta tidak menyentuh isu-isu sensitif yang melibatkan raja, kaum dan agama.

Sultan Ibrahim bertitah perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan perkara itu akan terus kekal terpelihara.

Bagaimanapun Seri Paduka Baginda bertitah agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman, tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.

“Oleh itu janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas perlembagaan ini. Saya berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam menyelesaikan perkara-perkara berkaitan perjanjian Malaysia 1963 dan berharap agar ia memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama,” titah Seri Paduka Baginda.

Kepada rakyat Malaysia yang selama ini mengekalkan perpaduan, hidup bersatu padu dan berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih. 

“...marilah kita berdoa ke hadrat Allah S.W.T semoga negara Malaysia dikurniakan rahmat dan keberkatan, kekal aman, maju dan makmur,” titah Seri Paduka Baginda.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda mahu Malaysia lebih tegas dalam mendukung soal keamanan dan menentang keganasan di peringkat antarabangsa.

Sultan Ibrahim bertitah ini termasuk dalam isu Palestin, dengan menggesa supaya gencatan senjata segera dilaksanakan dan bantuan kemanusian kepada penduduk Gaza dipercepatkan.

“Selain itu, sama ada di peringkat ASEAN mahupun dunia, Malaysia perlu terus memainkan peranan aktif dalam memupuk semangat perpaduan dan memacu kemajuan, mengambil kira cabaran geopolitik dan perkembangan serantau,” titah Yang di-Pertuan Agong.

- Bernama

Lihat Komen
ADS