Paling Popular
Terkini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bekas pengurus perhubungan bank BSI, Yak Yew Chee enggan datang ke Malaysia untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah terhadap Najib Razak berkaitan dana RM2.27 bilion 1MDB.

Pegawai penyiasat SPRM, Nur Aida Ariffn berkata, ia adalah susulan permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan pihak berkuasa Singapura pada 23 Ogos 2018, sebagai sebahagian daripada siasatan pihak berkuasa Malaysia terhadap kes itu.

Semasa perbicaraan terhadap bekas perdana menteri itu petang ini, Nur Aida yang juga saksi pendakwaan ke-49 berkata permohonan MLA tersebut hanya membolehkan pihak berkuasa Malaysia merekodkan kenyataan Kevin Swampillai, seorang lagi bekas jurubank dari BSI Bank, selain Yak.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, Nur Aida berkata Yak enggan datang ke Malaysia sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan sekarang, yang bermula pada 2019.

Swampillai datang ke Malaysia tahun lepas untuk memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Najib.

“Daripada (pihak berkuasa) Singapura, dimaklumkan bahawa Yak tidak mahu datang memberi keterangan (di mahkamah Malaysia),” kata Nur Aida.

Swampillai dan Yak sebelum ini disiasat oleh Monetary Authority of Singapore (MAS) berhubung peranan mereka dalam BSI Bank dalam urusan berkaitan 1MDB.

Pada November 2016, mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman penjara 18 minggu dan denda S$24,000 terhadap Yak selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan pemalsuan dan kegagalan mendedahkan transaksi mencurigakan yang dikaitkan dengan 1MDB.

Pada 23 Okt 2020, MAS mengenakan larangan seumur hidup ke atas Swampillai berhubung kes 1MDB.

Menurut portal web rasmi MAS, Swampillai dan pegawai bawahannya ketika itu, Yeo Jiawei, telah menyalurkan sebahagian daripada yuran pengurusan dana atau "keuntungan rahsia" - iaitu AS$5 juta (RM16.6 juta) - kepada entiti yang dimiliki secara benefisial oleh Swampillai, tanpa pengetahuan dan kebenaran BSI.

Pihak berkuasa Singapura berkata keuntungan rahsia itu adalah berkaitan dengan kedua-dua mereka yang telah membantu 1MDB untuk menyusun semula beberapa kepentingan usaha samanya.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana daripada 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Sementara itu, semasa perbicaraan hari ini, Nur Aida berkata dia tidak mendapat jawapan daripada empat negara - Switzerland, Barbados, Hong Kong (China), dan Belanda - berhubung permohonan MLA SPRM untuk merekodkan keterangan saksi berkaitan 1MDB dari negara-negara tersebut.

Dia memberitahu Shafee bahawa negara-negara tersebut hanya berkongsi dengan Malaysia salinan fotostat perbankan dan dokumen kewangan lain yang berkaitan dengan 1MDB.

Dia menjelaskan bahawa Malaysia tidak mendapat maklum balas daripada empat negara itu berhubung permohonan SPRM untuk merekodkan kenyataan saksi di sana.

Perbicaraan di hadapan Sequerah akan disambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS