Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan tarik balik rayuan halang isteri Amri dapatkan laporan OSA

Kerajaan persekutuan dan pihak polis menarik balik permohonan di Mahkamah Rayuan bagi menghalang isteri Amri Che Mat daripada mendapatkan akses terhad terhadap laporan sulit pasukan petugas khas berhubung kehilangan aktivis itu lapan tahun lalu.

Peguam Surendra Ananth, yang mewakili Norhayati Mohd Ariffin, mengesahkan bahawa kerajaan dan polis telah memfailkan notis pemberhentian rayuan di mahkamah rayuan berhubung laporan yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Dengan pemberhentian rayuan itu, Norhayati bersedia menerima laporan itu (dalam kapasiti terhad),” kata peguam itu ketika dihubungi petang ini.

Dia berkata saman yang difailkan oleh anak guamnya di mahkamah terhadap kerajaan dan polis ditetapkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis minggu ini.

Salinan notis pemberhentian itu difailkan di Mahkamah Rayuan bertarikh 21 Feb.

Pada 9 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Norhayati untuk mendapatkan akses terhad terhadap laporan yang diklasifikasi sebagai OSA, bagi menyokong saman di mahkamah terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan Amri pada tengah malam 24 Nov 2016.

Pada 26 Jun 2019, dua bulan selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memutuskan bahawa Amri adalah mangsa kehilangan paksa oleh pihak polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membentuk pasukan petugas khas untuk menyiasat semula perkara itu.

Bagaimanapun, kekurangan maklumat terkini mengenai laporan itu, menyebabkan kumpulan masyarakat sivil The Citizens Against Enforced Disappearances (Caged) pada 2021 menggesa kerajaan mengeluarkan penemuan pasukan petugas itu.

Pasukan petugas itu dibentuk ketika pentadbiran Pakatan Harapan yang diketuai oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad pada 2019.

Caged mengeluarkan kenyataan media yang mendesak agar penemuan itu dikeluarkan pada 2 April 2021, ketika pentadbiran Perdana menteri daripada Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin.

Kerajaan kini dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang mengambil alih kepimpinan daripada Ismail Sabri Yaakob selepas pilihan raya umum ke-15.

Pada 3 April 2019, inkuiri awam yang dijalankan Suhakam menyimpulkan bahawa Amri dan paderi Raymond Koh, yang masing-masing dilaporkan hilang pada 2016 dan 2017, adalah mangsa kehilangan secara paksa.

Panel tiga anggota sebulat suara membuat kesimpulan bahawa pelaku adalah anggota Cawangan Khas dari ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS