Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz enggan mengulas berkenaan penglibatannya dalam penganugerahan kontrak membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan kepada Spanco Sdn Bhd.

Kontrak itu diberikan pada 2020, ketika Zafrul menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

"(Acara) ini tiada kaitan dengan perkara itu. Saya tiada komen. Anda tanya menteri kewangan sekarang," katanya dalam sidang media selepas Persidangan Media Tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Muhyiddin menafikan dakwaan salah laku berkenaan kontrak itu, menyifatkannya sebahagian daripada "siri pembunuhan karakter" untuk menjejaskan reputasinya.

Selepas konsesi 26 tahun Spanco untuk membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan tamat pada 2019, satu tender dibuka untuk kontrak bagi 15 tahun seterusnya.

Walaupun Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd membentuk konsortium untuk membuat bidaan dan dilaporkan mendapat surat hasrat (LOI) selepas membuat bidaan terendah, surat itu dibatalkan pada 2020, iaitu ketika pentadbiran Muhyiddin, dan kontrak diberikan kepada Spanco.

Menurut laporan, bidaan yang dibuat Naza-Berjaya adalah kurang RM700 juta berbanding tawaran Spanco.

Susulan itu, pengasas Berjaya, Vincent Tan mengheret Kementerian Kewangan dan Spanco ke mahkamah pada tahun lalu.

Pada 20 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya telah merakam keterangan seorang bekas menteri kewangan bagi membantu siasatan berkenaan perkara itu.

Tanpa merujuk sebarang nama, Azam berkata menteri itu berkhidmat pada 2020 hingga 2021 - yang jelas merujuk kepada Zafrul.

Prestasi ringgit

Sementara itu, Zafrul berkata prestasi ringgit akan memberi kesan berbeza kepada sektor pelaburan.

Menurutnya, pelabur yang merancang untuk membina kilang memerlukan masa antara 18 hingga 24 bulan untuk menyiapkannya, dan dengan nilai ringgit terus menurun, kos mereka menjadi semakin rendah kerana perniagaan mereka berdasarkan dolar AS.

"Dalam pelaburan, mata wang tidak begitu sensitif seperti dalam aliran modal," katanya sambil menambah mata wang kurang diperkatakan dalam perbincangan bersama pelabur.

Zafrul juga berpandangan pentadbiran pada masa ini memiliki pakar dan individu yang betul berhubung hal ehwal mata wang.

Ditanya jika dia ada sebarang nasihat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga memegang portfolio kewangan, dia berkata tidak sesuai untuk memberi nasihat melalui sidang media.

"Kami ada mesyuarat kabinet, jadi itu platform (yang sesuai). Bercakap dengan media untuk menasihati perdana menteri bukanlah platform yang betul," katanya lagi.

Pada Selasa lalu, ringgit merosot ke paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1998, iaitu sekitar RM4.8 untuk AS$1.

Sebelum ini, Anwar berkata kerajaan tidak mengabaikan mahupun memandang mudah perkara itu dan sedang berusaha untuk menanganinya.

Dia juga berkata mata wang Asia yang lain, seperti Yen Jepun dan Renminbi China, turut merosot.

Bank Negara pula menjelaskan yang ringgit berada di bawah paras sebenar dan sewajarnya diniagakan pada tahap yang lebih tinggi.

Lihat Komen
ADS