Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafidah dakwa hantarannya di Facebook disekat

Bekas menteri Rafidah Aziz mendakwa media sosialnya ditapis selepas salah satu catatan Facebooknya mengenai layanan terhadap pesara kerajaan di Institut Jantung Negara (IJN) "disekat" daripada khalayak di Malaysia.

Menurutnya, dia dimaklumkan oleh rakannya bahawa catatan itu tidak kelihatan di laman Facebooknya. Ini kemudiannya disahkan oleh anak perempuan Rafidah, yang mengatakan bahawa siaran itu hanya boleh dilihat melalui Rangkaian Peribadi Maya (VPN).

Ketika dihubungi, dia berkata bahawa siaran itu dilihat oleh dirinya sendiri, sebagai pemilik laman Facebook "Rafidah Malaysian Citizen", tetapi tidak dapat dilihat oleh pengikutnya.

“Saya berasa jijik dengan kejadian ini.

"Sekarang kita tidak boleh menyuarakan pandangan yang memberi kesan kepada rakyat, dalam kes ini, pesara. Kerajaan tidak boleh dibiarkan dibuai oleh pujian manis, (dan) statistik yang nampak cantik dengan hampir tidak ada kelayakan terperinci," tulisnya di Facebook hari ini.

Dalam "hantaran yang disekat" bertarikh 27 Feb, Rafidah menulis mengenai discaj "tidak adil" pesara kerajaan daripada IJN, ketika mereka masih memerlukan penjagaan khusus yang hanya boleh diberikan oleh institut itu.

Dia mengulas surat yang disiarkan portal kesihatan Codeblue, mengenai seorang pesara yang tidak disebutkan namanya mendakwa dia didiscaj selepas menerima penjagaan rapi di IJN, menurutnya berikutan arahan kerajaan agar semua penjawat awam dan pesara perlu dihantar ke pusat jantung Kementerian Kesihatan yang terdekat dengan rumah mereka.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad kemudian menjelaskan bahawa IJN tidak menolak pesara.

Sebaliknya, pesakit dibenarkan discaj apabila keadaan mereka stabil ke pusat jantung Kementerian Kesihatan yang lain, bagi memastikan lebih ramai pesakit boleh dirujuk ke IJN.

Hari ini, Rafidah turut berkongsi dengan Malaysia tangkap layar mesej dari Facebook mengenai hantarannya.

Mesej itu berbunyi: "Orang ramai di Malaysia tidak akan melihat siaran anda, kerana kami menerima permintaan undang-undang daripada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk menyekat akses kepada hantaran anda kerana melanggar undang-undang tempatan. Kami mematuhi permintaan itu selepas menjalankan penilaian undang-undang dan hak asasi manusia. Kandungan anda masih boleh dilihat oleh orang di lokasi lain."

Malaysiakini telah menghubungi SKMM, Facebook, dan pejabat Menteri Perhubungan Fahmi Fadzil untuk respons.

Rafidah, yang pernah memegang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata penapisan seperti itu adalah sama dengan kisah "Maharaja tanpa pakaian".

“Dia benar-benar telanjang, tiada sesiapa dibenarkan berkata sepatah pun. Apatah lagi mengkritik semasa dia berarak di khalayak ramai! Akhirnya, seorang kanak-kanak kecil menunjukkan, (bahawa) maharaja tidak mempunyai pakaian.

"Itulah yang akan berlaku oleh penapisan buta dan pengekangan suara yang sebenar, tulen, tiada agenda," keluhnya.

Tambahnya, dia bercakap demi masyarakat dan negara tercinta Malaysia tanpa sebarang agenda.

Rafidah juga telah menghubungi Fahmi secara peribadi untuk bertanyakan sebab sekatan itu.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq mempersoalkan mengapa hantaran itu disekat daripada tontonan rakyat Malaysia.

“Apakah (tujuan) hantaran itu dilihat oleh mereka di luar negara sedangkan ia adalah kritikan mengenai isu negara?” katanya.

Dia juga memberitahu Malaysiakini bahawa dia terpaksa menggunakan VPN untuk membaca hantaran Facebook Rafidah.

Lihat Komen
ADS