Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jawatankuasa BNM: M'sia ada asas kukuh, ringgit bawah nilai sebenar
Diterbitkan:  Mar 1, 2024 9:26 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Di tengah kejatuhan nilai ringgit ketika ini, Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) setuju dengan pandangan bahawa paras semasa ringgit pada masa ini adalah di bawah nilai sebenar.

Ini dengan mengambil kira asas ekonomi negara kekal kukuh dan prospek ekonomi positif, kata FMC.

FMC ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mei 2016 dan terdiri daripada wakil BNM, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.

FMC bermesyuarat hari ini untuk membincangkan perkembangan terkini dalam pasaran pertukaran asing ringgit.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kemudiannya, FMC mengalu-alukan kenyataan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan mengenai ringgit terutama berhubung penyelarasan yang diperhebat antara kerajaan dan BNM untuk menggalakkan lebih banyak aliran masuk ke pasaran.

"Ini termasuk meningkatkan penyelarasan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk menggalakkan mereka membawa pulang pendapatan daripada pelaburan asing dan menukar pendapatan itu kepada ringgit dengan lebih konsisten, memainkan peranan mereka untuk menyokong ringgit di tengah-tengah cabaran dalam persekitaran global."

Mesyuarat itu menyatakan bahawa terdapat kesan segera terhadap aliran pasaran dan peningkatan minat pasaran untuk membeli ringgit.

"FMC maklum yang BNM akan meningkatkan libat urus dengan korporat dan pelabur untuk terus menggalakkan penukaran dan pengukuhan sentimen pasaran terhadap ringgit," katanya lagi.

Keyakinan pelabur antarabangsa

Jawatankuasa itu juga membangkitkan keyakinan berterusan pelabur global terhadap pasaran kewangan Malaysia.

"Berdasarkan YTD (year to date), KLCI meningkat 6.7 peratus, disokong dengn aliran masuk USD422 juta daripada pelabur bukan pemastautin."

"Pegangan bon kerajaan jangka panjang oleh bukan pemastautin terus stabil sekitar 22 peratus manakala pasaran FX kekal rancak dengan perolehan harian yang sihat iaitu sebanyak USD15.3 bilion."

FMC berkata keadaan itu akan terus memudahkan pengantaraan yang cekap dalam ekonomi.

Pengerusi FMC dan timbalan gabenor BNM, Adnan Zaylani merumuskan berdasarkan pandangan yang dikongsi jawatankuasa, prospek untuk ringgit mengukuh adalah tinggi.

Kenyataan itu juga memetik kenyataan Ketua Perbendaharaan Standard Chartered Bank Malaysia, Sylvia Wong bahawa pihaknya "melihat aliran seimbang daripada kedua-dua pelabur korporat dan institusi dengan ringgit terus diniagakan dengan teratur".

"Faktor luaran, iaitu jangkaan kenaikan kadar AS, terus menentukan pergerakan FX serantau, termasuk ringgit. Apabila keterlihatan penurunan kadar AS bertambah baik, penilaian kadar tukaran dua hala berbanding USD akan bertambah baik."

Hari ini, ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar AS.

Pada jam enam petang tadi, ringgit jatuh kepada 4.7440/7480 berbanding dolar AS berbanding 4.7400/7455 pada Khamis lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS