Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
EGM Bersatu lulus pinda perlembagaan untuk halang MP belot

Bersatu berjaya meminda perlembagaan parti itu hari ini dalam usaha untuk menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah pada masa hadapan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan petang ini, di mana perwakilan parti sebulat suara menyokong usul untuk meminda Perkara 10 perlembagaan Bersatu.

Artikel itu menetapkan perkara berkaitan peletakan jawatan dan pemecatan ahli parti.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam sidang media selepas itu berkata pindaan perlembagaan tersebut berjalan lancar.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata pindaan tersebut bertujuan menghalang mana-mana Ahli Parlimen Bersatu atau ahli Dewan Undangan Negeri daripada parti itumenyokong musuh parti itu.

Dia merujuk tindakan enam ahli parlimen Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

"Kita terpaksa buat pindaan ini kerana terdapat 6 ahli parlimen bersatu yang khianat pada perjuangan parti kita dengan menyatakan sokongan pada musuh tanpa keluar dari parti kita.

"Patut keluar la. Tak nak keluar tapi sokong 'madanon'. Mengaku setia pada parti, sokong presiden parti tapi pada masa sama sokong musuh parti, ini satu hipokrasi," kata Muhyiddin.

Menurutnya, berikutan pindaan perlembagaan itu, mana-mana wakil rakyat Bersatu yang bertindak sedemikian akan terbatal keahlian mereka dalam parti itu serta merta.

"Maka keahliannya itu terhenti dan itu selaras peruntukan perlembagaan fasal 49A dan ini akan trigger (mencetuskan) apa yang dikatakan sebagai akta lompat parti.

"Kerusi itu akan terkosong dan pastinya akan maklum kepada SPR. Pilihan raya bagi semua kerusi itu akan diadakan," kata Muhyiddin.

Selain menyekat wakil rakyatnya daripada berpaling tadah pada masa akan datang, Bersatu juga menuntut agar enam ahli parlimen daripada parti itu mengosongkan kerusi masing-masing.

Mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman ( Labuan).

Menurut Muhyiddin, Bersatu akan terlebih dahulu membawa resolusi hari ini kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebelum mengambil tindakan terhadap enam ahli parlimen terbabit

Dia berkata Setiausaha Agung parti itu, Hamzah Zainudin akan menghantar surat rasmi kepada setiap enam ahli Parlimen berkenaan bagi meminta mereka menyatakan pendirian mereka.

“Lepas tu Hamzah akan tulis kepada keenam-enam MP tu tadi untuk tanya sama ada sah dia menyokong PMX.

“Kalau ya, maka terkesanlah da. Dia kena kosongkan (kerusi).

“Dan lepas tu (kita) akan maklumkan kepada SPR,” ujarnya.

Menurutnya, Hamzah juga akan menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul untuk memaklumkan mengenai perkara itu.

Lihat Komen
ADS