Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lebih satu pertiga graduan kerja tak sepadan dengan kelayakan'
Diterbitkan:  Mar 4, 2024 3:55 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Lebih satu pertiga daripada graduan tempatan Malaysia yang memulakan kerjaya dengan pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka, kekal dalam keadaan itu untuk satu tempoh masa, menurut laporan penyelidikan oleh Khazanah Research Institute (KRI).

Laporan itu, bertajuk Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia's Skilled Talents, berdasarkan tinjauan mutakhir KRI berkenaan perkembangan kerjaya graduan Malaysia.

Ia turut menyatakan kira-kira 60 peratus graduan telah diambil kerja dalam pekerjaan berkemahiran tinggi sejak satu dekad lalu.

Namun, ini bermakna dengan lepasan universiti semakin ramai dan pasaran kerja yang semakin kompetitif, isu gaji rendah dan pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelulusan kekal dihadapi kira-kira 40 peratus graduan, tanpa mengira jumlah tahun mereka bekerja, menurut tinjauan itu lagi.

Dari segi gaji permulaan, jumlah pemegang ijazah yang mendapat gaji RM2,000 ke bawah turut menurun dengan signifikan, daripada 63.3 peratus pada 2010 kepada 43.2 peratus pada 2022.

Pemegang diploma yang mendapat gaji permulaan RM2,000 ke bawah juga menurun daripada 93.7 peratus kepada 78 peratus untuk tempoh yang sama.

"Memandangkan langkah yang salah dalam memulakan kerjaya boleh memberikan kesan yang panjang terhadap perjalanan kerjaya di masa depan, peringkat akhir dalam inisiatif pasaran buruh aktif penting untuk memudahkan transisi pengajian-ke-pekerjaan.

"Ini dapat mengatasi isu kurang penggunaan bakat berkemahiran dalam memacu pembangunan negara dan memaksimumkan pulangan pendidikan tinggi," menurut Hawati Abdul Hamid yang mengetuai pasukan yang menyediakan laporan itu.

Laporan itu turut menegaskan isu kebolehpasaran graduan bukan hanya berkenaan masalah bekalah (tenaga kerja), dengan kekosongan yang terhad untuk pekerjaan berkemahiran tinggi pada dekad lalu menunjukkan isu struktur yang lebih besar dalam pasaran kerja.

Laporan itu adalah sebahagian daripada kajian yang dijalankan KRI dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ia menggunakan data Graduate Tracer Study (GTS) oleh kementerian itu dan Graduate Career Tracking Survey (GCTS) oleh KRI, melibatkan graduan dari institut pengajian tinggi tempatan.

[Berita lanjut menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS