Paling Popular
Terkini

Kad akreditasi akhbar bukan lesen untuk mengamalkan kewartawanan, tidak seperti yang diberikan kepada pengamal perubatan atau undang-undang, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Menurutnya, kad media hanyalah satu cara untuk memudahkan akses media ke acara rasmi.

Dia berkata demikian sebagai mewajarkan tindakan Jabatan Penerangan untuk mengeluarkan kad media dengan tempoh sah lebih pendek kepada wartawan daripada pelbagai agensi berita dalam talian.

“Saya harap rakan-rakan media boleh bantu untuk jelaskan bahawa ini bukan macam lesen perubatan sebelum dibenarkan mengamalkannya. Dia bukan badan profesional seperti peguam, arkitek atau doktor, yang mana untuk bekerja dalam bidang itu, kita perlukan lesen.

“Ini bukan lesen - kad perakuan media adalah yang diberikan oleh Jabatan Penerangan khusus untuk memudah cara wartawan hadir mengikuti dan membuat pelaporan bagi acara- acara rasmi kerajaan,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Fahmi menegaskan bahawa isu tempoh sah kad berkenaan tidak sama sekali menyekat, atau menghalang wartawan daripada melaksanakan tugas masing-masing.

"Kamu tidak perlukan kad akreditasi media untuk bekerja atau berfungsi sebagai wartawan,” tambah menteri itu.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan isu berkenaan Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) termasuk mengenai tempoh sah lakunya sedang diteliti dan akan diumumkan penyelesaiannya dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata JaPen sedang mengemas kini dan menyelaras kembali tempoh sah laku Kad Perakuan Media untuk semua organisasi mengikut beberapa prosedur operasi standard (SOP).

Fahmi berkata hal ini kerana ada beberapa wartawan kontrak daripada organisasi media yang tempoh sah laku kad perakuan medianya berbeza.

“Ini masih dalam pertimbangan JaPen dan insya-Allah dalam masa yang tidak terlalu lama, kita akan ada pengumuman susulan mengenai isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran solusi digital penjagaan kesihatan oleh CelcomDigi di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, JaPen dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menyelaras SOP Kad Perakuan Media JaPen termasuk berkaitan tempoh sah laku kad berkenaan.

JaPen dilaporkan berkata penyelarasan ini turut mengambil kira dokumen Kod Etika Wartawan Malaysia (KEWM) Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang telah dikemas kini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata pengamal media bagaimanapun boleh memperbaharui kad perakuan berkenaan yang telah tamat tempoh seperti biasa.

Pada masa sama, Fahmi berkata penyelarasan itu dibuat bukan untuk mengekang kebebasan bersuara pengamal media dan ia tidak berfungsi seperti “lesen” yang diwajibkan ke atas mereka.

Sebaliknya, Fahmi berkata ia berperanan sebagai medium pemudah cara untuk membuat liputan terutama melibatkan program rasmi kerajaan.

“Kad Perakuan Media JaPen diberi khusus untuk memudah cara wartawan hadir dan mengikuti acara rasmi kerajaan seperti liputan acara sambutan Hari Kebangsaan, acara di Parlimen dan acara Pertabalan, itulah fungsi Kad Perakuan Media.

Ia tidak mengekang daripada membuat pelaporan, ini bukan seperti MMA (Persatuan Perubatan Malaysia) dia bukan pertubuhan seperti itu, “katanya.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata nama 215 wartawan sambilan atau “stringer” telah dikemukakan JaPen kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Setelah kita teliti (perkara ini), nanti kita akan buat pengumuman susulan termasuk dalam isu perlindungan Perkeso dalam bidang ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS