Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agong kurniakan Proton X90 pada ketua polis
Diterbitkan:  Mar 8, 2024 5:55 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan kereta Proton X90 kepada Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.

Mengikut kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun rasmi Seri Paduka, beberapa pegawai Istana Negara juga menerima kurniaan kereta tersebut.

Kurniaan daripada Seri Paduka disampaikan oleh pengelola Istana Negara, Zailani Hashim.

Sementara itu kenyataan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim menyebut bahawa Seri Paduka, dan keluarga diraja Johor menerusi yayasan-yayasan diraja Johor telah sekian lama mengurniakan pelbagai sumbangan dalam membantu rakyat.

Ini termasuk kurniaan kereta kepada pegawai-pegawai awam yang berjasa serta dedikasi dalam menjalankan tugas mereka.

“Malah, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan 10,000 paket beras percuma seberat 10 kilogram di Johor, tahun lalu dalam membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah.

“Selain daripada kurniaan dan sumbangan Baginda juga memberi kurniaan kereta kepada pegawai-pegawai yang berjasa serta dedikasi dalam menjalankan tugas,” petik kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Seri Paduka sejak dahulu lagi telah mengurniakan kereta kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri Johor, pegawai daerah, doktor perubatan serta jururawat.

“Pada 2018, Baginda mengurniakan Proton Suprima kepada semua Pegawai Daerah di Johor,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, dalam menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan, Seri Paduka juga pernah mengurniakan 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, pada September 2020.

Baginda juga dilaporkan pernah mengurniakan Proton X70 kepada tiga doktor sebagai penghargaan di atas khidmat mereka dalam pasukan perubatan Istana Johor pada 2021.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS