Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindaan isu anak terbuang untuk cegah salah guna oleh warga asing - menteri

Kerajaan mahu meminda undang-undang kewarganegaraan berkaitan anak terbuang bagi mengelakkan ia disalahgunakan oleh warga asing, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Berucap di Dewan Rakyat petang ini, dia berkata terdapat kes pasangan warga asing meninggalkan bayi yang baru lahir selepas bersalin di hospital kerajaan.

Menurut Saifuddin, ia dilakukan secara sengaja oleh warga asing kerana mereka tahu bahawa kanak-kanak itu secara automatik boleh mendapat kewarganegaraan Malaysia mengikut Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

"Pernah berlaku juga warga asing, yang bukan warganegara, bersama pasangannya juga warga asing, terang-terang bukan warganegara, berlaku kelahiran bayi di hospital, mereka keluar begitu saja, bil hospital tak bayar.

"Bil hospital tak berbayar oleh warga asing ini ratusan juta. Angka kita ada. Sebab itu ditinggalkan begitu saja, sebab dia pun tau bawah 19B, anak lahir di sini dia kata boleh dapat terus (kewarganegaraa).

"Ini dulu tak berlaku pada 1963. Sekarang dgn 3.5 juta warga asing, dia mengubah landskap dari segi komposisi dalam negara kita sebab itu pindaan hari ini adalah untuk persiapan hari muka," kata menteri itu.

Saifuddin menjawab soalan Ramkarpal Singh (Pakatan Harapan-Bukit Gelugor), yang mempersoalkan alasan di sebalik rancangan Putrajaya untuk membuat anak terbuang atau penjaga mereka membuktikan identiti ibu bapa yang telah meninggalkan mereka.

Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa mana-mana kanak-kanak yang baru lahir yang didapati terdedah di mana-mana tempat hendaklah dianggap telah dilahirkan di sana daripada seorang ibu yang bermastautin tetap di sana melainkan ia boleh dibuktikan sebaliknya.

Dalam erti kata lain, katanya, ia terpakai kepada anak-anak terbuang tanpa jejak siapa ibu bapa mereka.

Menurut statistik yang disediakan oleh Saifuddin, terdapat sebanyak 142 kes anak yang terbuang antara 2013 dan tahun ini, dan semua permohonan kewarganegaraan mereka telah diproses dan diputuskan.

'Elemen kawalan'

Bagaimanapun, di bawah pindaan yang dirancang, Putrajaya berusaha untuk mengubahnya daripada kewarganegaraan melalui pelaksanaan undang-undang kepada kewarganegaraan melalui pendaftaran.

Ini bermakna kanak-kanak terbuang mesti mendaftar untuk mendapatkan kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, di mana kuasa untuk memberikan status itu beralih kepada menteri dalam negeri.

Menurut Saifuddin, rancangan untuk meminda Seksyen 19B itu bertujuan untuk memasang elemen kawalan dalam pemberian kerakyatan.

“... kita nak buat satu perkara yang betul dan yang kita nak elak juga adalah memberi kewarganegaraan kepada orang yang tidak layak.

Mesti ada elemen kawalan. Jadi itulah tujuan sebenar di sebalik cadangan ini," katanya.

Awal hari ini, Saifuddin memberitahu perkara yang sama seperti di sidang media di Kuala Lumpur, mengatakan bahawa terdapat kes di mana ibu bapa angkat memperoleh sijil kelahiran palsu untuk anak yang mereka ambil.

"Kes sebegini hanya dapat dikesan apabila kanak-kanak ini mencapai umur 12 tahun dan perlu memohon MyKad. Inilah yang berlaku.

“Contoh lain ialah pasangan asing (meninggalkan bayi baru lahir), sudah tentu perlu ada unsur siasatan (sebelum diberikan kerakyatan),” katanya.

Sementara itu, Saifuddin turut memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak membuat cadangan itu untuk bersikap "kejam".

Sebaliknya, katanya, rancangan mereka adalah untuk memudahkan proses permohonan kewarganegaraan dengan meminda 14 undang-undang lain yang berkaitan.

Dengan melakukan ini, Kementerian Dalam Negeri menyasarkan untuk mengurangkan tempoh memproses permohonan kewarganegaraan kepada satu tahun. Saifuddin berkata beberapa permohonan telah mengambil masa sehingga 10 tahun sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS