Seorang tokoh kanan Umno yang tidak terpilih sebagai menteri baru, walau hebat dispekulasikan, dalam rombakan kabinet Rabu lalu memberikan alasan untuk "mengutamakan parti."
"Kalau hendak berkhidmat, (kita boleh berkhidmat) tidak kira di mana tempat," kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhammad Mohd Taib, apabila diminta mengulas perkembangan terbaru itu.
Muhammad menegaskan, "biarlah saya bekerja keras untuk menumpukan kerja-kerja parti setelah 11 tahun berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor."
"(Kemajuan) parti juga penting," katanya kepada malaysiakini .
Sebagai pemimpin kanan Umno yang dipilih semula Mei tahun lalu, Muhammad disebut-sebut akan memegang jawatan menteri seperti dua lagi Naib Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Berbeza dengan Muhyiddin dan Najib, bagaimanapun Muhammad tidak terpilih untuk bertanding dalam pilihanraya umum 1999.
Spekulasi pelantikan Ketua Perhubungan Umno Selangor itu sebagai anggota kabinet mula tersebar selepas beliau mengerjakan umrah bulan lalu.
"Spekulasi macam-macam ada. Masing-masing (seseorang) berhak membuat spekulasi berdasarkan kepentingan masing-masing," katanya, mengulas khabar angin tersebut.
Jawatannya sebagai pemimpin kanan Umno "direhatkan" sejak 1996 selepas ditahan di Australia kerana gagal mengisytiharkan wang tunai berjumlah RM2.9 juta kepada jabatan kastam negara itu. Muhammad bagaimanapun didapati tidak bersalah oleh mahkamah daerah Brisbane pada Mei 1998.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula membebaskan pemimpin Umno itu pada Disember tahun itu daripada tuduhan gagal mengisytiharkan harta tetap dan harta mudah alih beliau, isteri dan anak-anaknya seperti diperlukan oleh Pendakwaraya mengikut Seksyen 25(1) (a) Akta Pencegahan Rasuah.
Dalam rombakan kabinet terbaru, dua menteri baru ialah Datuk Shahrizat Jalil untuk mengetuai Kementerian Hal Ehwal Wanita dan pemimpin PPP Senator Datuk M Kayveas sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Brig-Jen (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin pula dilantik menjadi Menteri di Jabatan Pewrdana Menteri. Ahli Dewan Negara Datuk Zainuddin Maidin dilantik Setiausaha Parlimen bagi Kementerian Penerangan dan Senator Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
