Paling Popular
Terkini
story images
story images

PARLIMEN | Kerajaan akan mengkaji semula gaji minimum tahun ini dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk majikan, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

"Pada tahun ini berpandukan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, kadar gaji minimum akan dirujuk dan dikaji semula.

"Kita sudah tentu akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pihak pekerja dan majikan serta menjadikan rujukan laporan-laporan sosioekonomi seperti laporan Bank Negara yang dinyatakan oleh YB Batang Sadong,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Ini sebagai respons terhadap soalan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee (GPS), yang membangkitkan isu itu berdasarkan cadangan Bank Negara dan projek Belanjawanku, yang merupakan projek celik kewangan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 pada Mei 2022.

Bagaimanapun, syarikat yang mempunyai kurang daripada lima pekerja diberikan pengecualian kenaikan itu sehingga 1 Jan 2023 dan dilanjutkan lagi hingga Julai tahun itu.

Pada 2023, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mencadangkan dasar gaji progresif yang bertujuan untuk melengkapkan gaji minimum.

Pada Januari tahun ini, Rafizi berkata kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya melaksanakan dasar gaji progresif, yang dijangka bermula dengan projek rintis Jun ini.

Katanya, dasar gaji progresif sebaliknya akan mengambil kira kemampuan majikan dan keadaan ekonomi negara.

Menurutnya pelaksanaannya akan dibuat secara sukarela dan akan diberi insentif oleh kerajaan.

Pada November tahun lepas, Rafizi menjelaskan bahawa berdasarkan sistem itu, kenaikan gaji akan tertakluk dengan produktiviti dan kemahiran pekerja.

Lihat Komen
ADS