Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata semua ahli parlimen dibenarkan menyuarakan pendapat mengenai Akta Parlimen Berpenggal Tetap (FTPA).
Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Azalina berkata perbincangan mengenai cadangan penggubalan FTPA perlu dibangkitkan kerana ia merupakan wacana politik dan kenyataan politik daripada parti politik.
“Adakah ini hala tuju yang dikehendaki oleh parti politik dalam negara kita?
"Sebab kita bukan kerajaan komunis yang buat semua ahli parlimen kena setuju. Tidak.
"Kita benarkan semua ahli parlimen dalam pihak kerajaan atau pembangkang ataupun bebas untuk memberi pendapat mereka,” katanya semasa ucapan penggulungan kementeriannya mengenai perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Azalina berkata demikian sebagai respons kepada RSN Rayer (Pakatan Harapan – Jelutong) yang bertanya tentang cadangan mengenai rang undang-undang FTPA dan bila ahli parlimen akan mendengarnya di dewan.
Ini berlaku selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Januari mencadangkan untuk memperkenalkan rang undang-undang khas untuk memastikan kerajaan kekal berkuasa untuk tempoh lima tahun penuh.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Zahid mencadangkan model FTPA.
Cadangan Zahid dibuat selepas dakwaan tindakan pembangkang untuk menggulingkan pentadbiran semasa.
Sementara itu, Azalina menjelaskan, cadangan menggubal FTPA boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan stabil dan tiada perubahan berterusan dalam pentadbiran.
“Kerajaan Madani pimpinan perdana menteri tidak lari daripada tanggungjawabnya tetapi perkara sebegitu mengambil masa.
“Soalan yang ditanya oleh Jelutong (Rayer) terikat dengan ini. Jika kerajaan stabil, kita boleh lakukan semua yang kita bincangkan sekarang.
"Tetapi ia tidak boleh dilaksanakan jika kerajaan terus bertukar," katanya,
Dia kemudian menjelaskan bahawa Malaysia, tidak seperti negara Barat yang mengamalkan sistem Westminster, mengamalkan sistem raja berperlembagaan.
Azalina menambah bahawa sistem Westminster adalah sebab mengapa undang-undang jangka tetap diperlukan di negara Barat kerana perlembagaan mereka tidak bertulis.
