Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis rakam kenyataan Kok Seong isu sekolah Cina
Diterbitkan:  Mar 15, 2024 2:27 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Polis merakamkan kenyataan ahli akademik Teo Kok Seong susulan kenyataannya bahawa sekolah Cina menyebarkan benih perkauman.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata Teo disiasat bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Sek 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Seksyen 505(c) berkaitan kenyataan menyebabkan kegusaran awam manakala Sek 233 berkaitan kesalahan penggunaan tidak wajar rangkaian perkhidmatan.

"Hanya percakapan dirakam," katanya ringkas ketika ditanya Malaysiakini.

Malaysiakini difahamkan tiada rampasan telefon atau laptop dibuat.

Seksyen 505 Kanun Keseksaan menjenayahkan penyebaran berita palsu dengan niat untuk menimbulkan ketakutan orang ramai, yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia menetapkan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian untuk menghantar komunikasi yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan atau boleh menyebabkan kegusaran kepada orang lain, yang boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya. .

Dalam video TikTok yang disiarkan oleh Merdeka Times, Teo mendakwa sekolah vernakular boleh menghalang perpaduan negara kerana pelajar Cina yang kurang cerdik hanya boleh menguasai bahasa Mandarin, menghalang komunikasi dengan kaum lain.

Susulan itu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa polis menyiasat Teo atas kenyataan tersebut, yang didakwanya telah memesongkan hubungan antara masyarakat Melayu dan Cina.

Teo bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dan berkata Kok "dalam penafian" berhubung realiti masyarakat Cina Malaysia.

Teo yang terlibat dalam penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Kebangsaan 2013-2025 mendakwa, orang Melayu dan India pun menyedari sentimen ini dalam kalangan masyarakat Cina.

Lihat Komen
ADS