Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bersatu lahir dari rahim pengkhianat, akan terus berdepan pengkhianatan'

Umno tidak mempunyai masalah dengan sokongan wakil rakyat Bersatu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim namun mendakwa "pengkhianat tetap pengkhianat."

Mengimbau bagaimana Umno dikhianati pada tahun 2018 selepas BN kehilangan mandat rakyat, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata orang yang sama kali ini turut berpaling tadah daripada Bersatu.

Jelasnya, Bersatu merupakan parti yang diasaskan berdasarkan 'pengkhianatan' dan kini terpaksa membayar harga kecurangan yang dilakukan sebelum ini.

"Siapa nak bagi sokongan yang penting bagi kita kerajaan itu stabil, Umno daripada awal lagi (berpendirian) kita ada dalam kerajaan ini atas asas kita merasakan kestabilan itu penting untuk rakyat.

"Dan itu juga antara titah nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk menoktahkan persengketaan lama.

"...Tapi, pengkhianat tetap pengkhianat," katanya yang menegaskan wakil rakyat Bersatu tetap pengkhianat meskipun menyokong kerajaan.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata Bersatu lahir daripada ‘DNA serta rahim pengkhianat’ dan akan terus berdepan dengan pengkhianatan.

"Kalau asasnya nak mengkhianati perjuangan, nak mengkhianati agenda agama dan bangsa, akhirnya wujud siri-siri pengkhinatan. Kita boleh tengok (tahun) 2018 bagaiman mereka cuba untuk mencuri ahli parlimen BN dan Umno.

"Dan seorang demi seorang mengkhianati perjuangan Umno... hari ini watak-watak yang sama juga terbabit dengan fenomena pengkhianatan ini," katanya lagi.

Untuk rekod ketika ini enam ahli parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar dan juga kerajaan perpaduan.

Mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman.

Pada 7 Mac Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari daripada Bersatu menjadi wakil rakyat pertama PN Selangor yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Amirudin Shari.

Lihat Komen
ADS